
MANILA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyeru ASEAN agar melindungi biodiversiti rantau ini daripada ekploitasi dan penyalahgunaan oleh pihak luar.
Beliau menyifatkan perlindungan terhadap biodiversiti di Asia Tenggara sebagai satu perkara yang melibatkan kedaulatan serantau.
Ketika menyampaikan intervensi pada sesi pleno Sidang Kemuncak ASEAN ke-49 di sini pada Ahad, Anwar berkata ekosistem, sumber genetik dan hidupan liar di rantau ini menjadi asas kepada keterjaminan makanan dan air, taraf hidup, daya tahan iklim dan pembangunan ekonomi yang mampan.
“Oleh itu, kita bertanggungjawab memperkukuh tadbir urus serantau, memastikan penggunaan sumber biodiversiti yang mampan dan saksama, serta melindunginya daripada eksploitasi dan penyalahgunaan oleh pihak luar.
“Melindungi biodiversiti ASEAN bukan sekadar satu keperluan alam sekitar, tetapi juga berkait dengan kedaulatan serantau,” kata beliau.
Berhubung isu jerebu rentas sempadan, Anwar berkata Malaysia telah mengemukakan beberapa cadangan tentang diplomasi sains dan dana jerebu mampan menerusi Jawatankuasa Pemandu Peringkat Menteri Subrantau mengenai Pencemaran Jerebu Rentas Sempadan (MSC).
“Cadangan ini bertujuan memperkukuh kerjasama saintifik, meningkatkan proses membuat keputusan berasaskan bukti dan memastikan sokongan kewangan yang lebih mampan untuk pelaksanaan AATHP (Perjanjian ASEAN mengenai Pencemaran Jerebu Rentas Sempadan),” kata beliau.
Perdana Menteri berkata Malaysia akan berusaha mengemukakan cadangan itu pada Persidangan Pihak-Pihak bagi perjanjian berkenaan, Disember ini dan semasa mempengerusikan MSC pada 2027.- BERNAMA
The post ASEAN perlu lindungi biodiversiti serantau appeared first on Utusan Malaysia.



