ASEAN Tech Summit 2025, Malaysia Sasar Jadi Hab Inovasi Serantau

LocalTechnology
7 Aug 2025 • 2:51 PM MYT
Siakap Keli
Siakap Keli

We’re a fast growing company with over 20 million page views per month.

Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, YB Dato’ Haji Mohammad Yusof bin Apdal telah merasmikan prapelancaran Sidang Kemuncak Kerjasama & Pembangunan Teknologi ASEAN 2025 di The Exchange 106, Kuala Lumpur hari ini.

Dianjurkan oleh Intrinsic SEA, sidang kemuncak ini merupakan forum sisi utama yang diadakan sempena dengan WE2025: Future in Motion, dengan tumpuan khusus terhadap inovasi, pelaburan dan kerjasama rentas sempadan ASEAN. Ia akan berlangsung selama dua hari pada 25 dan 26 November 2025 di MITEC, Kuala Lumpur.

Sebagai platform utama di bawah tonggak “Teknologi Masa Depan & AI” WE2025, sidang kemuncak ini bertujuan untuk memperkukuh kerjasama teknologi rentas sempadan serta menyokong misi WE2025 yang lebih luas dalam memacu inovasi inklusif, pembangunan lestari dan kepimpinan ekonomi serantau.

Acara ini dijangka menghimpunkan lebih 100 syarikat, lebih 50 pelabur global dan 2,000 perintis pembaharuan serta pemimpin ekosistem dari rantau ASEAN, China, Kanada, Australia, Timur Tengah, Eropah dan Jepun. Sidang kemuncak ini akan menampilkan pameran teknologi interaktif dengan lebih 100 reruai yang mengetengahkan inovasi canggih dalam sektor-sektor utama. Ia dianjurkan bersama dengan kerjasama pembina ekosistem terkemuka seperti NCT Group, Tus Cross-Border Innovation dan Jiahe Convention & Exhibitions.

Penyertaan antarabangsa yang signifikan ini mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai hab inovasi serantau dan membuka peluang penting kepada usahawan dan perusahaan berteraskan inovasi Malaysia untuk berinteraksi dengan pelabur global dan meluaskan akses pasaran.

Dengan lebih 50,000 penonton langsung dalam talian, sidang kemuncak ini juga memperkukuh peranan Malaysia sebagai pemboleh cara utama kerjasama serantau dalam bidang sains, teknologi dan inovasi.

Sidang Kemuncak ini akan menumpu kepada lima tonggak strategik:

  • Mobiliti & Pengangkutan Pintar Masa Hadapan
  • Penjagaan Kesihatan & Perubatan Digital Masa Hadapan
  • Pengguna & Perdagangan Digital Masa Hadapan
  • Pembinaan & Respons Kecemasan Keselamatan Masa Hadapan
  • Pekerjaan & Keusahawanan Masa Hadapan

Setiap tema digariskan untuk menangani cabaran dunia sebenar dan membuka peluang pertumbuhan yang selaras dengan agenda nasional termasuk Dasar Sains, Teknologi & Inovasi Negara (2021–2030).

Sorotan utama program termasuk:

  • Majlis Perasmian Berwawasan & Ucapan Dasar Kepimpinan
  • Sidang Meja Bulat Menteri & Industri mengenai Inovasi Strategik
  • Pameran Teknologi Generasi Baharu dengan 100+ Solusi Terkemuka
  • Intrinsic Capital Connect: Pameran Startup & Pelabur ASEAN
  • Tumpuan Pelaburan & Bandar Masa Depan ASEAN
  • Majlis Makan Malam Gala Kepimpinan & Perkongsian Global

YB Dato’ Haji Mohammad Yusof berkata:

“Sidang kemuncak ini mencerminkan aspirasi Malaysia untuk menerajui inovasi serantau melalui kerjasama strategik, teknologi baharu dan pertumbuhan inklusif. Ia menyokong misi MOSTI untuk proses transisi Malaysia daripada sebuah negara pengguna teknologi kepada pembangun teknologi bertaraf global menjelang 2030, serta mengukuhkan keutamaan Kepengerusian ASEAN oleh Malaysia.”

Beliau turut menekankan kepentingan ekosistem inovasi yang inklusif wanita:

“MOSTI mengktiraf bahawa peningkatkan penyertaan wanita dalam STEM adalah satu keperluan dari segi kesaksamaan dan ekonomi. Platform seperti WE2025 dan sidang kemuncak ini memainkan peranan penting dalam merapatkan jurang gender dengan: (i) meningkatkan pendedahan STEM dalam kalangan wanita muda dan gadis remaja, (ii) membina budaya kerja yang inklusif dan (iii) memperluaskan akses kepada modal, jaringan dan laluan kepimpinan bagi perintis pembaharuan dan usahawan wanita.”

Richard Teo, Pengerusi Eksekutif Qube Integrated Malaysia dan Pengerusi Penganjur WE2025 berkata:

“WE2025 memperjuangkan pertumbuhan ekonomi inklusif dengan memperkasa wanita dalam perdagangan, pelaburan dan kepimpinan. Walaupun sidang kemuncak ini terbuka kepada semua peserta, ia tetap membawa semangat WE2025 dalam memastikan wanita diberi peluang bermakna untuk menerajui inovasi teknologi — satu sektor yang amat memerlukan penyertaan inklusif.”

Ravenna Chen, Ketua Pegawai Eksekutif Intrinsic SEA pula menambah:

“Sidang kemuncak ini bukan sekadar membina jaringan — ia bertujuan membuahkan hasil. Dengan menyelaraskan kekuatan serantau dalam teknologi dan industri, kami berhasrat untuk merintis kerjasama sebenar: mempercepat pelaksanaan projek, mengintegrasi teknologi ke dalam rantaian nilai utama dan membina ekosistem yang kompetitif di peringkat global yang memperkasa gelombang pertumbuhan dan inovasi ASEAN yang seterusnya.

Ini adalah komitmen strategik — inisiatif rentas sempadan berasaskan sains dan inovasi, selari dengan Kengerusian ASEAN oleh Malaysia yang kelima, ulang tahun ke-10 Komuniti ASEAN, dan aspirasi bersama Wawasan ASEAN 2045.
Kami berhasrat untuk bekerjasama merentasi sektor bagi membentuk ekosistem ASEAN yang berhubung secara global dan memberi impak sosial, di samping menyokong agenda inovasi Malaysia dan mempercepat transformasi digital ASEAN demi manfaat bersama.”

Sidang Kemuncak Kerjasama & Pembangunan Teknologi ASEAN 2025 merupakan acara utama dalam WE2025: Future in Motion — platform utama Malaysia untuk memperkasa wanita dalam perdagangan, pelaburan dan kepimpinan. Dianjurkan oleh Qube Integrated Malaysia dengan kerjasama Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat serta Jabatan Pembangunan Wanita, WE2025 akan berlangsung pada 25–27 November 2025 di MITEC, Kuala Lumpur.