Aset disita: Berjaya Hills Resort sifatkan tindakan penguatkuasaan Pahang keterlaluan

LocalBusiness & Finance
2 Oct 2026 • 5:44 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Aset disita: Berjaya Hills Resort sifatkan tindakan penguatkuasaan Pahang keterlaluan Image from: Aset disita: Berjaya Hills Resort sifatkan tindakan penguatkuasaan Pahang keterlaluan liza02/10/2026 - 17:44 Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN liza@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 2 Okt – Berjaya Hills Resort Berhad (BHRB) mempersoalkan tindakan penguatkuasaan pihak berkuasa Negeri Pahang terhadap premisnya di Berjaya Hills ketika syarikat itu masih menunggu pendengaran permohonan untuk membawa pertikaian kadar cukai tanah ke Mahkamah Persekutuan.

 

Tindakan yang bermula pada 28 September 2026 itu membabitkan beberapa kemudahan penting syarikat, termasuk kuarters kakitangan, dobi pusat dan kemudahan lain yang menyokong operasi resort berkenaan.

 

BHRB menyifatkan tindakan itu sebagai tidak munasabah dan keterlaluan, lebih-lebih lagi permohonan syarikat untuk mendapatkan kebenaran merayu kepada Mahkamah Persekutuan hanya akan didengar pada 8 Disember 2026.

 

Cukai tanah melonjak 13 kali ganda

Pertikaian itu berpunca daripada kenaikan mendadak kadar cukai tanah yang dikenakan terhadap BHRB pada 2020, ketika pandemik COVID-19, apabila bayaran tahunan syarikat melonjak daripada kira-kira RM2.4 juta pada 2019 kepada RM33.7 juta.

 

Menurut BHRB, kenaikan itu bersamaan kira-kira 13 kali ganda atau 1,304%.

 

Antara April 2020 hingga Disember 2022, syarikat membuat 11 rayuan kepada Kerajaan Negeri Pahang bagi mendapatkan semakan kadar berkenaan serta pengurangan sewajarnya.

 

Hasil rayuan itu menyaksikan kadar cukai tanah diturunkan kepada RM25.75 juta setahun daripada RM33.7 juta.

 

Bagaimanapun, BHRB berkata, jumlah tersebut masih kira-kira 9.7 kali ganda atau 973% lebih tinggi berbanding RM2.4 juta yang dikenakan pada 2019.

 

RM42.65 juta dibayar, pertikaian dibawa ke mahkamah

BHRB berkata, pihaknya membuat bayaran cukai tanah di bawah bantahan dari 2020 hingga 2026, dengan jumlah kira-kira RM42.65 juta termasuk penalti.

 

Syarikat terus mengemukakan rayuan kepada Kerajaan Negeri Pahang kerana menganggap jumlah yang perlu dibayar masih terlalu tinggi.

 

ARTIKEL BERKAITAN: Aset disita: Berjaya Hills dapat penangguhan sementara tindakan daripada mahkamah

 

Selepas rayuan tidak membuahkan hasil dan tiada maklum balas daripada Menteri Besar Pahang, BHRB memfailkan semakan kehakiman terhadap Kerajaan Negeri Pahang di Mahkamah Tinggi Temerloh pada 11 April 2023.

 

Pada 29 Mei 2024, Mahkamah Tinggi menolak permohonan BHRB selepas memutuskan bahawa mahkamah tidak boleh campur tangan dalam keputusan dasar Kerajaan Negeri Pahang berkaitan semakan kadar cukai tanah.

 

BHRB kemudiannya merayu kepada Mahkamah Rayuan, namun pada 16 Julai 2026, mahkamah itu mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi.

 

BHRB mahu penyelesaian secara baik

Tidak berpuas hati dengan keputusan tersebut, BHRB pada 14 Ogos 2026 memfailkan permohonan untuk mendapatkan kebenaran merayu kepada Mahkamah Persekutuan, dengan pendengaran ditetapkan pada 8 Disember 2026.

 

Dalam pada itu, BHRB berkata, pihaknya menghormati keputusan Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Rayuan, namun kecewa dengan cara tindakan penguatkuasaan oleh pihak berkuasa Negeri Pahang dilaksanakan.

 

Menurut syarikat, kenaikan kadar cukai tanah dan tindakan penguatkuasaan berkenaan turut menimbulkan kebimbangan terhadap kesan kepada pelaburan tempatan dan asing di Pahang.

 

BHRB dan syarikat berkaitannya merupakan antara pelabur terawal dan terbesar di Pahang, termasuk dalam sektor hotel dan resort di Berjaya Hills serta Pulau Tioman.

 

BHRB mengendalikan beberapa destinasi pelancongan di Berjaya Hills termasuk Colmar Tropical, The Chateau Spa & Wellness Resort dan Berjaya Hills Golf Resort.

 

Syarikat itu berharap Kerajaan Negeri Pahang terus mengadakan rundingan secara konstruktif bagi mencapai penyelesaian yang boleh diterima kedua-dua pihak dan pada masa sama BHRB meneruskan langkah undang-undang yang tersedia untuk melindungi operasi perniagaan, pekerja dan keluarga mereka. - DagangNews.com

Pilihan Editor Terkini featured standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved