hamden02/10/2026 - 15:07 KUALA LUMPUR 2 Okt - Berjaya Hills Resorts Bhd memfailkan permohonan kebenaran untuk merayu ke Mahkamah Persekutuan berhubung keputusan Mahkamah Rayuan yang memutuskan kerajaan negeri mempunyai kuasa menentukan kadar sewa tanah tanpa perlu mendapatkan kelulusan Majlis Tanah Negara (MTN).
Permohonan itu susulan keputusan Mahkamah Rayuan pada 16 Julai lalu yang mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi dan menolak rayuan Berjaya Hills serta syarikat berkaitan berhubung kenaikan kadar sewa tanah bagi 330 bidang tanah di Bentong, Pahang.
Pendengaran permohonan kebenaran rayuan berkenaan dijadualkan pada 8 Disember.
Menurut laporan The Edge, dalam dokumen mahkamah yang difailkan Berjaya Hills melalui Tetuan Chuar Kia Lin yang dilihat akhbar itu menunjukkan sebanyak 12 persoalan undang-undang dikemukakan kepada Mahkamah Persekutuan untuk menentukan sama ada kebenaran rayuan diberikan.
Bagi kes sivil di Mahkamah Persekutuan, kebenaran perlu diperoleh terlebih dahulu bagi memastikan rayuan yang dikemukakan berasaskan persoalan undang-undang dan bukan bersifat remeh, menyusahkan atau merupakan penyalahgunaan proses mahkamah.
Perkembangan itu berlaku selepas kerajaan Pahang dilaporkan melucut hak 122 bidang tanah milik Berjaya Hills di Bukit Tinggi pada 28 September lalu susulan dakwaan kegagalan syarikat menjelaskan sewa tanah berjumlah RM70 juta.
Pada 1 Oktober, Berita Harian memetik ketua unit penguatkuasaan negeri Pahang, Saifullah Muhammad Ali sebagai berkata, 122 bidang tanah itu disita susulan tunggakan pembayaran cukai tanah.
Antara hartanah yang terjejas termasuk kuarters pekerja, ladang arnab, ladang Jepun serta kemudahan lain yang terletak di atas tanah berkenaan.
“Sebanyak 122 bidang tanah telah dilucut hak dan struktur kekal (harta tak alih) telah dikosongkan serta dikunci,” katanya.
Pertikaian itu tercetus selepas kerajaan Pahang memperkenalkan kadar sewa tanah yang disemak semula di bawah Kaedah-Kaedah Tanah Pahang (Pindaan) (No. 3) 2019, yang berkuat kuasa pada 1 Januari 2020.
Pada 2023, Jabatan Tanah dan Galian Pahang mengenakan kadar lebih tinggi bagi 2020, 2021 dan 2022.
Berjaya Hills dapat perintah penangguhan sementara
Bagaimanapun, peguam Berjaya Hills, Chuar Kia Lin berkata anak guamnya memperoleh perintah penangguhan sementara (ad interim) daripada Mahkamah Tinggi Temerloh terhadap tindakan penyitaan tersebut.
“Pada 28 September, kerajaan Pahang meneruskan tindakan penguatkuasaan terhadap premis syarikat, termasuk mengunci bangunan yang terdiri daripada kuarters kakitangan, dobi pusat, taman arnab dan taman Jepun.
“Tindakan penguatkuasaan itu dijalankan sehari sebelum pendengaran permohonan anak guam saya bagi mendapatkan perintah penangguhan sementara,” katanya.
Beliau berkata Mahkamah Tinggi kemudiannya memberikan perintah penangguhan sementara memihak kepada Berjaya Hills, yang menangguhkan semua tindakan dan/atau prosiding penguatkuasaan serta pelaksanaan oleh Pahang menurut Seksyen 100 dan 130 Kanun Tanah Negara.
Perintah itu berkuat kuasa sementara menunggu permohonan penangguhan substantif syarikat yang ditetapkan untuk pendengaran pada 27 November 2026.
Chuar berkata Mahkamah Tinggi turut memerintahkan supaya tindakan penguatkuasaan terhadap premis Berjaya Hills dibatalkan.
Ini termasuk membuka semula bangunan yang disegel, terdiri daripada kuarters kakitangan, dobi pusat, taman arnab dan taman Jepun, serta memulihkan bekalan air.
“Pihak berkuasa Pahang telah mematuhi sepenuhnya perintah mahkamah sebelum jam 1 petang pada 30 September.
“Semua rantai dan mangga yang dipasang semasa tindakan penguatkuasaan telah ditanggalkan. Bangunan yang terjejas telah dibuka semula sepenuhnya dan akses dipulihkan. Bekalan air serta utiliti berkaitan turut dipulihkan,” katanya. - DagangNews.com






