amree28/10/2026 - 11:33 Oleh AMREE AHMAD amree@dagangnews.com KUALA LUMPUR 28 Okt — Pencapaian aset industri kewangan Islam di Malaysia dianggarkan melepasi nilai AS$800 bilion (RM3.27 trilion) menjelang akhir suku ketiga 2026, menurut Fitch Ratings.
Kadar tersebut ujar firma itu, lebih 150% daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) disokong sepenuhnya oleh ekosistem domestik yang matang serta pelbagai langkah dasar strategik kerajaan.
Berdasarkan laporan agensi penarafan antarabangsa tersebut, instrumen sukuk merangkumi kira-kira 47% daripada keseluruhan aset kewangan Islam negara sepanjang tempoh suku ketiga berkenaan.
"Di samping itu, segmen perbankan Islam pula didapati menguasai sejumlah 42% aset, diikuti dana Islam iaitu sebanyak 8% dan takaful mencecah sebanyak 3%," jelas Fitch dalam kenyataan.
Kekuatan industri ini tambah firma tersebut, berakar umbi daripada faktor kedalaman pasaran domestik yang disokong oleh sistem kewangan Islam tempatan paling maju di peringkat antarabangsa.
Ia turut mengesahkan Malaysia masih lagi mengekalkan kedudukannya sebagai pasaran sukuk terbesar di dunia pada akhir suku ketiga, dengan penguasaan 33% daripada jumlah sukuk terkumpul global.

Malahan kata kenyataan Fitch tersebut, penerbitan sukuk turut didapati berjaya menyumbang kira-kira 64% daripada nilai keseluruhan pasaran modal hutang domestik negara ini sendiri.
"Kerajaan turut kembali memasuki pasaran sukuk denominasi dolar Amerika Syarikat (AS) menerusi terbitan AS$1.5 bilion (RM6.12 billion), yang pertama dalam tempoh lima tahun," jelas agensi berkenaan.
Firma itu menjangkakan hutang kerajaan, termasuk sukuk, akan merosot secara beransur-ansur kepada sekitar 74% daripada KDNK menjelang 2027 disokong pertumbuhan nominal KDNK dan konsolidasi fiskal.
Tambahnya, pertumbuhan sektor kewangan Islam ini diunjur terus mampan, dipacu sokongan dasar di bawah Belanjawan 2027 serta kedudukan Malaysia sendiri sebagai peneraju pasaran global.
Bagaimanapun ujarnya, pertumbuhan sektor ini tetap terdedah kepada risiko ketidaktentuan pasaran luar, turun naik kadar faedah, tukaran mata wang dan harga komoditi. - DagangNews.com






