Iskandar Malaysia lepasi sasaran pelaburan raih RM525 bilion sejak 20 tahun ditubuhkan - IRDA

LocalBusiness & Finance
21 Oct 2026 • 11:30 AM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Iskandar Malaysia lepasi sasaran pelaburan raih RM525 bilion sejak 20 tahun ditubuhkan - IRDA Image from: Iskandar Malaysia lepasi sasaran pelaburan raih RM525 bilion sejak 20 tahun ditubuhkan - IRDA amree21/10/2026 - 11:30 Oleh AMREE AHMAD amree@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 21 Okt – Iskandar Malaysia berjaya menarik pelaburan terkumpul sebanyak RM525.26 bilion sepanjang dua dekad, melebihi sasaran asal RM383 bilion, ketika koridor ekonomi Johor itu beralih kepada industri bernilai tinggi bagi memacu pertumbuhan seterusnya.

 

Menurut Pihak Berkuasa Wilayah Pembangunan Iskandar (IRDA), pencapaian positif itu turut menyaksikan kawasan ekonomi berkenaan sudah menjana lebih satu juta pekerjaan dan meningkatkan purata pendapatan isi rumah kepada lebih dua kali ganda sejak penubuhannya.

 

Kini, tumpuan beralih daripada sekadar menarik pelaburan kepada usaha peningkatan produktiviti, mewujudkan pekerjaan bergaji lebih tinggi dan memperkukuh rantaian bekalan domestik supaya lebih banyak syarikat tempatan mendapat manfaat daripada pertumbuhan ekonomi.

 

"Fasa pembangunan seterusnya akan memberi tumpuan lebih keutamaan kepada sektor pembuatan termaju, industri digital dan berasaskan data, logistik moden serta perkhidmatan kewangan dan perniagaan yang bernilai tinggi," jelas agensi berkenaan dalam kenyataan.

 

Pendekatan itu bertujuan meningkatkan nilai ekonomi daripada pelaburan yang diterima, termasuk melalui pemindahan teknologi, penyertaan syarikat tempatan dan inovasi, selain membantu syarikat Malaysia bergerak ke segmen rantaian nilai global yang lebih tinggi.

 

Ujar IRDA, Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) dijangka memainkan peranan penting dalam strategi menggabungkan kapasiti perindustrian, ketersediaan tanah dan kos operasi kompetitif dengan akses Singapura kepada modal, teknologi serta rangkaian perniagaan global.

 

IRDA Iskandar Malaysia_DagangNews2026

 

JS-SEZ tambahnya, mencatatkan pelaburan diluluskan sebanyak RM76.98 bilion pada 2025, mencerminkan daya tarikan Johor sebagai destinasi pelaburan pelengkap kepada Singapura bagi perniagaan yang mahu mengembangkan operasi serantau di negeri berkenaan.

 

Ia selari gesaan Timbalan Perdana Menteri II merangkap Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, Datuk Seri Fadillah Yusof yang menilai kejayaan fasa pembangunan seterusnya perlu berdasarkan kualiti dan kemampanan manfaat ekonomi, bukan hanya jumlah pelaburan diraih.

 

Tambah IRDA, perkara berkenaan turut ditekankan beliau sendiri ketika mempengerusikan Mesyuarat Majlis Tadbir IRDA ke-36 bagi pihak Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, bersama-sama Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi.

 

"Justeru, isu ketersediaan tanah dan kos kompetitif sahaja tidak lagi mencukupi untuk menarik pelabur. Kesiapsiagaan infrastruktur, bekalan tenaga, pekerja berkemahiran dan sambungan digital kini semakin penting dalam menentukan keputusan pelaburan," katanya.

 

Bagi merealisasikan lagi potensi besar JS-SEZ dalam kemajuan Iskandar Malaysia jelasnya, penyelarasan pembangunan infrastruktur, bekalan tenaga, pembangunan bakat, urusan kastam dan imigresen serta hubungan rentas sempadan perlu diperkukuhkan.

 

Kejayaan zon berkenaan tegas IRDA, akhirnya bergantung pada keupayaannya mengintegrasikan perniagaan, membangunkan bakat tempatan dan meningkatkan penyertaan syarikat domestik dalam rantaian bekalan serantau serta global. - DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved