
PETALING JAYA – Datuk Seri Najib Tun Razak sedang mendapatkan nasihat dan meneliti pilihan bagi memenuhi syarat pembayaran denda RM50 juta yang dikenakan sebagai sebahagian syarat pengampunan.
Firma guaman Shafee & Co. dalam kenyataannya berkata, kemampuan bekas Perdana Menteri itu untuk memenuhi syarat tersebut turut dipengaruhi oleh status aset, akaun bank dan hartanah yang sebahagiannya masih tertakluk kepada perintah pembekuan serta prosiding penguatkuasaan kerajaan.
“Sebahagian besar aset, akaun bank dan hartanah beliau masih tertakluk kepada perintah pembekuan dan prosiding penguatkuasaan oleh kerajaan dan pelupusannya pada masa ini bukan di bawah kawalan beliau sepenuhnya.
“Keupayaan beliau untuk memenuhi syarat itu sebahagiannya bergantung kepada perkara yang bukan berada dalam tangannya,” katanya.
Sehubungan itu, Najib sedang mendapatkan nasihat berhubung perkara tersebut selain mempertimbang pilihan terbaik bagi melaksanakan syarat yang ditetapkan.
Dalam pada itu, Najib merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim atas perkenan pengampunan bersyarat yang membolehkannya menjalani baki hukuman tahanan rumah sehingga Ogos 2027.
Menurut kenyataan itu, Najib menerima keputusan itu dengan penuh rendah hati dan menghargai pertimbangan Lembaga Pengampunan bagi Wilayah-Wilayah Persekutuan terhadap petisyen pengampunannya.
Bagaimanapun, pemindahan bekas Ahli Parlimen Pekan itu ke rumah bergantung kepada syarat-syarat yang ditetapkan.
“Buat masa ini dan sehingga denda dibayar, anak guam kami kekal di Penjara Kajang. Anak guam kami dan pasukan guaman sedang meneliti terma tersebut dan implikasinya,” katanya.
Najib turut menzahirkan penghargaan kepada Timbalan Perdana Menteri yang juga Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO serta kepimpinan, ahli UMNO dan Barisan Nasional di semua peringkat yang terus memberikan sokongan kepadanya.
Beliau turut berterima kasih kepada rakyat Malaysia yang menawarkan bantuan bagi memenuhi syarat pembayaran RM50 juta. Bagaimanapun, beliau tidak mahu parti, ahli dan penyokongnya atau orang ramai berasa terbeban atau terikat untuk membantunya.
“Beliau amat menghargai mereka yang membantu atas kehendak sendiri mengikut kemampuan masing-masing. Keprihatinan mereka menjadi sumber kekuatan yang besar kepadanya ketika ini,” katanya.
Najib turut merakamkan penghargaan kepada keluarga, rakan-rakan dan semua pihak yang terus mendoakannya. Beliau pada masa sama meminta supaya privasi keluarganya dihormati.
Firma guaman Shafee & Co. memaklumkan, pihaknya tidak akan memberikan sebarang komen lanjut berhubung perkara itu buat masa ini.- KOSMO! ONLINE.
The post Aset Najib masih dibeku, tidak mahu orang ramai terbeban denda RM50 juta appeared first on Kosmo Online.






