Aset, produk sejuk beku bernilai RM24 juta

9 Jul 2026 • 11:58 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Aset, produk sejuk beku bernilai RM24 juta
PGA Sabah berjaya merampas dan menyita pelbagai produk sejuk beku, aset serta peralatan bernilai lebih RM24 juta

KOTA KINABALU - Pasukan Gerakan Am (PGA) Sabah berjaya merampas dan menyita pelbagai produk sejuk beku, aset serta peralatan bernilai lebih RM24 juta menerusi Operasi Bersepadu Intra/Inter - Ops Chiller Briged Sabah yang dilaksanakan secara serentak di pelbagai daerah di negeri ini pada Rabu.

Dalam operasi melibatkan 14 daerah itu, seramai 21 individu berusia antara 20 hingga 66 tahun, termasuk 19 warga tempatan dan dua warga asing, turut ditahan bagi membantu siasatan.

Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam Polis Diraja Malaysia (PDRM), Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri berkata, operasi bersepadu itu bertujuan untuk mengesan dan membanteras aktiviti penyeludupan, penyimpanan serta pemprosesan produk sejuk beku, selain mengesan pelbagai kesalahan lain.

Menurutnya, operasi berkenaan dijalankan di Kota Kinabalu, Papar, Penampang, Tawau, Keningau, Semporna, Sandakan, Beluran, Lahad Datu, Sook dan Sipitang.

"Sebanyak 14 serbuan berjaya dilaksanakan dalam operasi yang bermula sekitar jam 8 pagi hingga 6 petang.

"Hasil operasi berjaya merampas pelbagai produk sejuk beku bernilai RM10.35 juta melibatkan nugget, sosej, daging import, daging kambing, daging ayam, ikan dan organ dalaman lembu.

"Selain itu, aset bernilai RM13.8 juta turut disita membabitkan 11 unit chiller pelbagai jenama berkapasiti 700 liter, 24 unit bilik sejuk (cold room) pelbagai saiz serta pelbagai kenderaan dan peralatan. Nilai keseluruhan rampasan dan sitaan sebanyak RM24.15 juta," katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Beliau berkata, hasil pemeriksaan turut mengesan pelbagai kesalahan di bawah Enakmen Haiwan 2015, Akta Makanan 1983, Akta Kawalan Bekalan 1961 serta beberapa undang-undang kecil pihak berkuasa tempatan.

Katanya, semua tangkapan dan rampasan telah diserahkan kepada agensi berkaitan untuk siasatan dan tindakan lanjut.

"PDRM komited dan konsisten dalam membanteras aktiviti penyeludupan, penyimpanan serta pemprosesan produk sejuk beku dan kesalahan-kesalahan lain khususnya di Sabah.

"Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan aktiviti ini diminta menyalurkannya kepada pihak PDRM," katanya.

Sebelum itu, operasi itu dilaksanakan dengan kerjasama daripada pelbagai agensi termasuk Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Jabatan Perkhidmatan Veterinar, pihak berkuasa tempatan (PBT) dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN).

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved