Aset rizab rasmi Malaysia AS$124.12 bilion pada akhir November 2025 - BNM

LocalBusiness & Finance
31 Dec 2025 • 12:35 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Aset rizab rasmi Malaysia AS$124.12 bilion pada akhir November 2025 - BNM image is not available liza31/12/2025 - 12:35 Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN liza@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 31 Dis - Aset rizab rasmi Malaysia berjumlah AS$124.12 bilion manakala aset mata wang asing lain berjumlah AS$266.2 juta pada akhir November 2025, kata Bank Negara Malaysia (BNM).

 

Bank pusat itu berkata, untuk 12 bulan akan datang, aliran keluar jangka pendek yang telah dikenal pasti bagi pinjaman, sekuriti dan deposit mata wang asing, yang termasuk antara lain, pembayaran balik berjadual bagi peminjaman luar negeri oleh kerajaan dan kematangan Bil Antara Bank BNM berjumlah AS$13.19 bilion.

 

"Kedudukan jualan hadapan pendek bersih berjumlah AS$21.02 bilion pada akhir November 2025 mencerminkan pengurusan mudah tunai ringgit dalam pasaran wang," katanya dalam satu kenyataan mengenai pemakluman terperinci rizab antarabangsa pada akhir November 2025 hari ini.

 

Sejajar dengan amalan yang diterima pakai sejak April 2006, BNM berkata, data itu tidak termasuk unjuran aliran masuk mata wang asing yang timbul daripada pendapatan faedah dan pengeluaran pinjaman projek.

 

Ia berkata, unjuran aliran masuk mata wang asing berjumlah AS$2.914 bilion untuk tempoh 12 bulan akan datang.

 

Satu-satunya aliran keluar bersih jangka pendek kontingensi bagi aset mata wang asing ialah jaminan kerajaan bagi hutang mata wang asing yang perlu dibayar dalam tempoh satu tahun berjumlah AS$417 juta.

 

"Tiada pinjaman mata wang asing yang terkandung opsyen, kemudahan kredit tanpa syarat yang belum digunakan yang diberikan oleh atau kepada bank pusat lain, organisasi antarabangsa, serta bank dan institusi kewangan lain.

 

"BNM juga tidak terlibat dalam pilihan mata wang asing berbanding ringgit,” kata bank pusat itu.

 

Selaras dengan format Standard Penyebaran Data Khas (SDDS) Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF), butiran terperinci rizab antarabangsa memberikan maklumat akan datang berkenaan saiz, komposisi dan kebolehgunaan rizab serta aset mata wang asing lain, serta jangkaan dan prospek aliran masuk dan keluar pertukaran asing bagi Kerajaan Persekutuan dan BNM untuk tempoh 12 bulan akan datang.

 

"Secara keseluruhannya, butiran terperinci rizab antarabangsa di bawah format SDDS IMF menunjukkan pada akhir November 2025, rizab antarabangsa Malaysia tetap boleh guna," katanya. - DagangNews.com

Terkini standard