
Nurqayyum Nazmi-Yong Rui Jie sumbang gangsa dalam acara 3m papan anjal seirama lelaki, manakala Pandelela-Nur Eilisha kedudukan keempat di Asiad
TOKYO: Gandingan penerjun negara, Nurqayyum Nazmi Mohamad Nazim-Yong Rui Jie menyumbang pingat gangsa buat kontinjen Malaysia pada Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026, hari ini.
Beraksi di Tokyo Aquatics Centre, gandingan itu mengumpul 345.81 mata menerusi lima terjunan dalam acara 3 meter (m) papan anjal seirama lelaki bagi mengesahkan tempat di podium.
Pingat emas diraih gandingan China, Wang Zongyuan-Zheng Jiuyuan yang mencatatkan 465.87 mata, manakala perak milik wakil tuan rumah, Senri Ikuma-Haruki Suyama dengan 355.56 mata.
Sementara itu, gandingan wanita negara, Datuk Pandelela Rinong-Nur Eilisha Rania Muhammad Abrar Raj kempunan meraih pingat apabila menamatkan acara 10m platform seirama di kedudukan keempat dengan 247.29 mata.
Pasangan negara bersaing sengit sepanjang lima pusingan, dengan terjunan keempat mencatatkan keputusan terbaik iaitu 66.99 mata untuk membolehkan mereka berada di kedudukan ketiga.
Bagaimanapun, kesilapan pada terjunan terakhir meragut peluang gandingan itu untuk membawa pulang pingat.


