Asian Le Mans Series 2026–2027 Berpindah Ke Eropah, Hypercar Bakal Buat Kemunculan

3 Aug 2026 • 8:40 PM MYT
TW Media
TW Media

Gedung Info Permotoran

Image from: Asian Le Mans Series 2026–2027 Berpindah Ke Eropah, Hypercar Bakal Buat Kemunculan

Musim Asian Le Mans Series (ALMS) 2026–2027 bakal mencipta sejarah apabila buat pertama kalinya keseluruhan kalendar perlumbaan akan berlangsung di Eropah menerusi format khas Winter Le Mans Series, susulan ketidaktentuan geopolitik dan cabaran logistik yang berpunca daripada konflik berterusan di Timur Tengah.

Keputusan luar biasa itu dibuat selepas penganjur menilai pelbagai pilihan sejak awal tahun bagi memastikan kejuaraan dapat diteruskan tanpa gangguan, di samping memberikan kepastian kepada pasukan, pemandu dan rakan strategik untuk membuat persiapan musim baharu.

Menurut penganjur, selain konflik yang sedang berlaku, jumlah litar di Asia yang mampu menganjurkan perlumbaan ALMS pada musim sejuk adalah terhad. Faktor kos logistik yang tinggi serta keperluan mengelakkan pertindihan jadual dengan perlumbaan Rolex 24 At Daytona dan Liqui Moly Bathurst 12 Hour turut mempengaruhi keputusan tersebut.

Musim 2026–2027 akan membuka tirai di Circuit Paul Ricard, Perancis pada 13 hingga 15 November 2026 bagi Pusingan 1 dan 2. Selepas cuti Krismas, saingan diteruskan di Circuito de Jerez, Sepanyol pada 15 hingga 17 Januari 2027, sebelum menutup tirai musim di Autódromo Internacional do Algarve (Portimão), Portugal pada 19 hingga 21 Februari 2027.

Selain perubahan lokasi, musim ini turut menyaksikan kategori Hypercar membuat penampilan sulung dalam Asian Le Mans Series, sekali gus memberi peluang kepada peminat menyaksikan jentera kelas tertinggi perlumbaan endurance beraksi dalam kejuaraan itu.

Turut diperkenalkan ialah Asian Le Mans Cup, yang dikhususkan kepada kategori LMP3 dan GT3. Setiap pusingan akan menampilkan dua perlumbaan berdurasi dua jam, sekali gus menambah variasi serta daya tarikan kejuaraan.

Presiden Automobile Club de l’Ouest (ACO), Pierre Fillon berkata keputusan memindahkan kejuaraan ke Eropah bukanlah sesuatu yang mudah, namun ia dibuat demi kepentingan semua pihak dalam situasi luar jangka.

Beliau turut menegaskan bahawa juara kategori LMP2 dan GT3 masih akan menerima jemputan automatik ke perlumbaan 24 Hours of Le Mans 2027, selain berharap Asian Le Mans Series dapat kembali ke Asia apabila keadaan mengizinkan.

Ketua Pegawai Eksekutif ALMEM dan LMEM, Frédéric Lequien pula menjelaskan bahawa keutamaan mereka adalah memastikan kejuaraan kekal stabil, kompetitif dan memberikan hala tuju yang jelas kepada semua peserta walaupun terpaksa meninggalkan identiti tradisionalnya buat sementara waktu.

Sementara itu, Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif SRO Motorsports Group, Stéphane Ratel berkata pemindahan ke Eropah bukan pilihan ideal, namun ia merupakan penyelesaian paling praktikal berdasarkan keadaan semasa.

Beliau optimis tiga litar bertaraf dunia di Le Castellet, Jerez dan Portimão mampu menawarkan aksi kompetitif yang berkualiti, sebelum kejuaraan kembali ke Asia bagi musim 2027–2028.

2026/27 Asian Le Mans Series / Winter Le Mans Series Calendar
Rds 1 & 2              13-15 Nov 2026        Circuit Paul Ricard                               FRA
Rds 3 & 4              15-17 Jan 2027         Circuito de Jerez Ángel Nieto               ESP
Rds 5 & 6              19-21 Feb 2027         Autódromo Internacional do Algarve   POR

The post Asian Le Mans Series 2026–2027 Berpindah Ke Eropah, Hypercar Bakal Buat Kemunculan appeared first on TW Media.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved