
TONGGAK Harimau Malaya, Rodney Celvin Akwensivie mengakui Thailand bakal menjadi ujian paling getir buat skuad negara apabila kedua-dua pasukan bertembung dalam aksi Piala ASEAN 2026 di Stadium Rajamangala, esok.
Menurut Rodney, skuad Gajah Perang memiliki kualiti yang jauh lebih baik berbanding Myanmar dan Laos yang berjaya ditewaskan dalam aksi Kumpulan B sebelum ini.
Rodney percaya peningkatan yang ditunjukkan oleh rakan-rakan sepasukan memberikan perkembangan positif dan berharap ia dapat diteruskan ketika berdepan skuad Gajah Perang.
“Mungkin aksi pertama agak sukar kerana keserasian pemain, tetapi pada perlawanan kedua, kita sudah nampak sedikit keserasian dan ia memberikan keyakinan serta motivasi kepada pemain untuk bertemu Thailand.
“Mereka ada pemain muda dan pemain senior yang berkualiti. Kami sebagai pasukan pelawat memang kena sentiasa peka dan berhati-hati dengan serangan balas mereka,” katanya ketika ditemui di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) semalam.
Pemain Kuching City itu turut memberi perhatian khusus kepada ancaman di jentera serangan Thailand yang disifatkannya cukup agresif berdasarkan analisa terhadap perlawanan yang mereka harungi sebelum ini.
Kata Rodney, pemain kini menunggu perancangan dan taktikal yang akan diberikan ketua jurulatih, Tan Cheng Hoe dalam tempoh persiapan sebelum perlawanan.
“Dalam masa dua tiga hari ini, kami akan melihat perancangan jurulatih. Mungkin dalam mesyuarat dan latihan, beliau akan memberikan penjelasan kepada kami mengenai cara untuk mengekang Thailand.
“Bila tengok klip dan aksi mereka, memang mereka agak agresif di posisi serangan. Jadi kami perlu bersedia dan memastikan setiap pergerakan mereka dapat dikawal,” katanya.
09
The post Piala ASEAN: Rodney sedia kekang penyerang Thailand appeared first on Kosmo Digital.






