Askar maut tercampak dari jejambat hempap penunggang di TBS

13 Oct 2026 • 3:55 PM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: Askar maut tercampak dari jejambat hempap penunggang di TBS

KUALA LUMPUR – Seorang anggota Tentera Darat Malaysia (TDM) maut selepas dipercayai hilang kawalan sebelum tercampak kira-kira lima meter dari jejambat dan menimpa seorang penunggang motosikal lain di Jalan Lingkaran Tengah 2 berhampiran Terminal Bersepadu Selatan (TBS), pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira pukul 8.04 pagi itu, mangsa, Lans Koperal Anderson Jerrey Hendry, 24, sedang dalam perjalanan dari rumahnya di Bukit Jalil menuju ke tempat kerja di Kem Sungai Besi.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Mohd. Zamzuri Mohd. Isa berkata, ketika melalui susur jejambat berhampiran TBS untuk membuat pusingan U, motosikal Honda Wave ditunggang mangsa dipercayai hilang kawalan.

“Mangsa kemudian tercampak dari jejambat ke jalan raya di bawah, manakala motosikal yang ditunggangnya kekal berada di atas jejambat.

“Dalam masa sama, mangsa menimpa seorang lelaki Melayu berusia 46 tahun yang sedang menunggang motosikal Honda Vario dari arah Cheras menghala ke Sungai Besi sehingga menyebabkan kedua-duanya terjatuh di atas jalan raya,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut beliau, sebuah lori Isuzu yang dipandu lelaki berusia 46 tahun cuba mengelak kedua-dua mangsa, namun tidak sempat sebelum melanggar motosikal Honda Vario berkenaan.

Katanya, anggota tentera terbabit mengalami kecederaan parah di bahagian kepala dan badan sebelum disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

“Penunggang Honda Vario pula mengalami patah tangan kiri, kecederaan di muka serta pendarahan di kepala dan dibawa ke Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM) untuk rawatan lanjut.

“Pemandu lori tidak mengalami sebarang kecederaan. Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Sementara itu, Kor Jurutera Elektrik dan Jentera Diraja (KJLJD) memaklumkan mendiang bertugas sebagai Juruteknik Automotif 74 Woksyop Divisyen.

Hantaran berkenaan turut merakamkan ucapan takziah kepada keluarga mendiang atas pemergiannya hari ini.

Difahamkan mendiang meninggalkan seorang isteri yang sedang mengandung anak pertama dan dijangka bersalin pada bulan Disember ini. – KOSMO! ONLINE

The post Askar maut tercampak dari jejambat hempap penunggang di TBS appeared first on Kosmo Online.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved