
PETALING JAYA: Kemalangan membabitkan tiga kenderaan di Kilometer 18.2 Lebuhraya Persekutuan menghala ke Kuala Lumpur mengorbankan dua lelaki.
Laporan berhubung kemalangan maut itu pada pukul 1.05 pagi hari ini.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Shamsudin Mamat berkata, siasatan awal mendapati kemalangan berlaku kira-kira pukul 12.20 tengah malam apabila Proton Wira dipandu seorang lelaki tempatan berusia lingkungan 20-an dalam perjalanan dari Shah Alam menghala ke Kuala Lumpur.
“Pemandu kereta itu dipercayai gagal mengawal kenderaannya sebelum melanggar penghadang jalan di sebelah kanan lebuh raya.
“Kejadian itu kemudian menyebabkan perlanggaran membabitkan dua kereta lain yang berada di belakang kenderaan berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Akibat kemalangan itu, katanya, pemandu Proton Wira dan seorang penumpang berusia lingkungan 20-an mengalami kecederaan parah sebelum disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.
Jelasnya,dua lagi penumpang yang juga rakan kepada mangsa mengalami kecederaan pada bahagian badan.
“Pemandu dan penumpang dua lagi kenderaan lain dilaporkan tidak mengalami sebarang kecederaan,” ujarnya.
Shamsudin berkata, kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
“Pihak polis menasihatkan pengguna jalan raya supaya sentiasa mematuhi undang-undang dan peraturan lalu lintas bagi mengelakkan kejadian kemalangan,”jelasnya.
Katanya, polis tidak akan berkompromi terhadap pengguna jalan raya yang melanggar peraturan dan akan mengambil tindakan tegas terhadap mereka yang melakukan kesalahan.
“Saksi yang melihat atau berada di lokasi kejadian diminta tampil ke balai polis berhampiran atau menghubungi pegawai penyiasat trafik, Inspektor Mohd Nazar Md Kasim menerusi talian 012-565 3395 bagi membantu siasatan,” katanya. – UTUSAN
The post Dua maut babit kemalangan tiga kenderaan appeared first on Utusan Malaysia.






