Laluan tiga beradik maut penuh kabus, berjerebu

8 Oct 2026 • 4:10 PM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: Laluan tiga beradik maut penuh kabus, berjerebu

PONTIAN – Keadaan jalan yang diselubungi kabus dan jerebu sehingga menghadkan jarak penglihatan dipercayai antara faktor yang menyumbang kepada kemalangan maut sehingga meragut nyawa tiga beradik di Jalan Parit Haji Siraj, Kayu Ara Pasong, di sini, pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira pukul 7.20 pagi itu, tiga beradik berusia lapan hingga 18 tahun terbabit dalam kemalangan membabitkan motosikal yang dinaiki mereka dengan sebuah lori muatan kelapa sawit.

Dua mangsa iaitu Puteri Naufa Raisha Norlizan, 8, dan Nor Danial Fikri Norlizan, 11, yang merupakan murid Sekolah Kebangsaan (SK) Parit Sapran disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

Abang mereka, Nor Danial Aiman Norlizan, 18, yang menunggang motosikal berkenaan pula meninggal dunia selepas dibawa ke Hospital Pontian untuk mendapatkan rawatan.

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Penerangan Negeri Johor, Dr. Muhammad Naqib Md. Ghazali berkata, berdasarkan maklumat awal diterima, keadaan persekitaran ketika kejadian dilaporkan berjerebu dan berkabus sehingga menyebabkan jarak penglihatan terhad.

Bagaimanapun, katanya, faktor tersebut masih belum dapat disahkan sebagai punca kemalangan kerana siasatan rasmi sedang dijalankan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM).

“Justeru, kita tidak boleh membuat sebarang kesimpulan mengenai faktor yang menyebabkan kemalangan ini sehingga siasatan rasmi pihak berkuasa selesai,” katanya kepada pemberita selepas menziarahi ibu mangsa, Julaiha Munaji di Kampung Parit Haji Siraj, Kayu Ara Pasong, di sini hari ini.

Menurut beliau, keluarga mangsa turut memaklumkan bahawa mereka sebenarnya mengetahui mengenai penutupan sekolah susulan keadaan jerebu di negeri Johor selepas menerima hebahan menerusi kumpulan WhatsApp kelas, Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) serta saluran komunikasi sekolah.

“Bagaimanapun, dua beradik itu cukup bersemangat untuk ke sekolah walaupun sudah dimaklumkan sekolah ditutup,” katanya. – KOSMO! ONLINE

The post Laluan tiga beradik maut penuh kabus, berjerebu appeared first on Kosmo Online.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved