
JOHOR BAHRU: Lima individu ditahan manakala tiga kertas siasatan telah dibuka berhubung isu bendera Malaysia dan bendera negeri Johor dikibarkan secara terbalik yang dilaporkan berlaku di negeri ini.
Timbalan Ketua Polis Johor, Deputi Komisioner Hoo Chuan Huat berkata, tiga kes yang dilaporkan itu masing-masing melibatkan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kulai, Iskandar Puteri dan Johor Bahru Selatan.
Katanya, semua kertas siasatan sedang dilengkapkan dan akan dirujuk kepada Jabatan Peguam Negara (AGC) untuk tindakan lanjut.
“Setakat ini, kita telah buka tiga kertas siasatan melibatkan tiga kes berkenaan. Ada tangkapan yang telah dibuat dan siasatan masih dijalankan. Apabila siap, kita akan rujuk AGC untuk tindakan seterusnya,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor, di sini hari ini.
Tambah Chuan Huat, kes di IPD Kulai membabitkan dua individu masing-masing seorang lelaki berusia 34 tahun dan wanita berusia 48 tahun ditahan bagi membantu siasatan.
“Manakala bagi kes di bawah IPD Johor Bahru Selatan pula, dua lelaki berusia 25 dan 43 tahun ditahan, sementara seorang lagi lelaki berusia 56 tahun pula ditahan bagi kes di bawah IPD Iskandar Puteri.
“Kesemua mereka dipercayai kakitangan di premis terbabit dan ditahan bagi membantu siasatan berhubung pemasangan bendera secara tidak betul,” katanya.
Sehubungan itu, Chuan Huat turut mengingatkan pemilik premis, penyelia serta individu yang dipertanggungjawabkan supaya tidak mengambil mudah aspek pemasangan dan pemantauan bendera selepas ia dipasang.
“Sepatutnya, pemilik atau orang bertanggungjawab memasang bendera ini perlu menunjukkan cara pemasangan betul memeriksanya selepas pemasangan dibuat.
“Sebagai contoh mungkin boleh ambil gambar dan tunjuk kepada penyelia. Ini penting bagi memastikan tiada sebarang kesilapan berlaku,” katanya.-UTUSAN
The post Polis Johor tahan lima individu, tiga kertas siasatan dibuka melibatkan bendera terbalik appeared first on Utusan Malaysia.





