liza24/08/2026 - 12:08 Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN liza@dagangnews.com KUALA LUMPUR 24 Ogos – Penampilan kali pertama Askar Timbalan Setia Negeri Johor atau lebih dikenali sebagai Johor Military Force (JMF) dalam perbarisan adalah antara kelainan dalam sambutan Hari Kebangsaan 2026 di Dataran Putrajaya pada 31 Ogos ini.
Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata pasukan tentera itu akan membawa 100 anggota serta asetnya sendiri dalam perbarisan tersebut.
Beliau berkata, selain penyertaan pasukan dari Johor itu, beberapa perubahan lain turut diperkenalkan bagi memberikan pengalaman berbeza kepada orang ramai yang hadir menyaksikan sambutan bersejarah berkenaan.
"Antara yang mungkin berbeza tahun ini ialah kita turut mempunyai pasukan JMF dari Johor yang mengambil bahagian dengan aset dan pasukan seramai 100 orang," katanya kepada pemberita selepas sesi latihan pertama di lokasi bagi persembahan grafik manusia yang membabitkan 1,500 pelajar.
Pameran Aset Tentera Dan Polis
Fahmi berkata, aset tentera dan polis juga akan dipamerkan secara statik di beberapa lokasi termasuk Dataran Floria, kawasan monumen dan Dataran Aman.
Beliau berkata, pendekatan itu membolehkan orang ramai melihat aset berkenaan dengan lebih dekat, berbanding hanya menyaksikannya ketika perbarisan berlangsung di tepi jalan.
Dalam pada itu, beliau berkata jumlah penaja bagi sambutan Hari Kebangsaan tahun ini meningkat kepada 139 pihak, dengan sumbangan meningkat 118% berbanding tahun lalu.
Menurutnya, sebahagian besar sumbangan tersebut akan disalurkan kepada orang awam dan bukan hanya untuk peserta persembahan.
Katanya, antara sumbangan yang akan diberikan termasuk makanan serta pelbagai barangan untuk diagihkan kepada orang ramai pada awal pagi 31 Ogos.
1,500 Pelajar Sertai Persembahan
Fahmi berkata, seramai 1,500 pelajar daripada 36 sekolah di Putrajaya, Kuala Lumpur dan Selangor kini menjalani latihan di lokasi sambutan buat kali pertama.
Beliau berkata, latihan berkenaan diadakan ketika sambutan hanya berbaki kurang seminggu lagi sebelum berlangsung pada 31 Ogos.
Raptai penuh akan diadakan pada Jumaat dan Sabtu ini dan orang ramai dijemput menyaksikan raptai pada Sabtu.
Ahad, 30 Ogos pula ditetapkan sebagai hari rehat kepada peserta sebelum mereka mengambil bahagian dalam sambutan Hari Kebangsaan pada Isnin, 31 Ogos.
Persiapan Sambutan Melebihi 70%
Mengenai persiapan keseluruhan, Fahmi berkata tahap persiapan kini melebihi 70% dan dijangka mencapai antara 80% hingga 90% dalam tempoh beberapa hari akan datang.
Beliau berkata, antara perkara yang masih dalam proses disiapkan ialah tempat duduk bertingkat serta ruang khas diraja.
Fahmi berkata, penganjur turut menyediakan prosedur operasi standard (SOP) kesihatan sebagai langkah persediaan sekiranya berlaku jerebu sepanjang sambutan.
Prosedur berkenaan akan dimuktamadkan bersama Jabatan Meteorologi Malaysia dan Kementerian Kesihatan sebelum diumumkan kepada orang ramai.
Kemudahan Pengangkutan Untuk Pengunjung
Bagi memudahkan orang ramai ke Dataran Putrajaya, Fahmi berkata perkhidmatan Transit Aliran Massa (MRT) akan beroperasi selama 24 jam pada 30 dan 31 Ogos.
Selain itu, perkhidmatan bot percuma akan disediakan semula untuk tahun ketiga berturut-turut bagi memberi pilihan pengangkutan kepada pengunjung.
Lebih 80,000 pengunjung dijangka hadir ke Dataran Putrajaya bagi menyaksikan sambutan Hari Kebangsaan pada 31 Ogos ini. - DagangNews.com




