ASM 2 Wawasan catat agihan pendapatan RM1.31 bilion, tertinggi dalam tujuh tahun

Business & Finance
28 Aug 2026 • 2:24 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: ASM 2 Wawasan catat agihan pendapatan RM1.31 bilion, tertinggi dalam tujuh tahun
Foto FB Amanah Saham Nasional Berhad

AMANAH Saham Nasional Berhad (ASNB), syarikat pengurusan unit amanah milik penuh Permodalan Nasional Berhad (PNB), pada Jumaat mengumumkan agihan pendapatan berjumlah RM1.31 bilion bagi Amanah Saham Malaysia 2 - Wawasan (ASM 2 Wawasan) untuk tahun kewangan berakhir 31 Ogos 2026.

Dalam kenyataan hari ini, PNB memaklumkan agihan itu bersamaan 5.00 sen seunit, meningkat daripada 4.75 sen seunit yang diagihkan bagi tahun kewangan sebelumnya, sekali gus merupakan agihan pendapatan tertinggi ASM 2 Wawasan dalam tempoh tujuh tahun.

Agihan berkenaan memberi manfaat kepada lebih 1.01 juta pemegang unit dengan jumlah pegangan sebanyak 26.3 bilion unit.

"Pada kadar 5.00 peratus, agihan ini mengatasi kadar deposit tetap Maybank 12 bulan pada paras 2.01 peratus, sebanyak 299 mata asas,” menurutnya.

Setakat 24 Ogos 2026, ASM 2 Wawasan merekodkan pendapatan terealisasi bersih sebanyak RM1.43 bilion.

PNB memaklumkan prestasi lebih kukuh itu mencerminkan daya tahan dana dalam mengharungi persekitaran pelaburan yang semakin tidak menentu, termasuk ketegangan geopolitik, konflik berterusan di Timur Tengah, perubahan jangkaan kadar faedah dan turun naik pasaran.

"Prestasi itu disokong oleh pengurusan portfolio yang berdisiplin, pengurusan risiko berhemat serta penempatan terpilih dalam bidang yang mempunyai potensi pertumbuhan struktur yang kukuh,” menurutnya.

PNB memaklumkan pendapatan dana turut disokong oleh keuntungan terealisasi dan pendapatan dividen daripada pelaburan terpelbagai dalam ekuiti domestik dan global.

Peruntukan dalam aset pendapatan tetap, hartanah dan ekuiti persendirian pula membantu mempelbagaikan sumber pendapatan serta mengurangkan kesan perubahan keadaan pasaran terhadap portfolio.

Bagi pemegang unit yang memilih pengaturan zakat khultah (Kelas B), agihan pendapatan akan diterima selepas ditolak zakat sebanyak 2.57 peratus, menjadikan kadar agihan bersih dianggarkan 4.87 peratus berdasarkan kadar agihan yang diisytiharkan sebanyak 5.00 peratus. - Bernama

 

 

 

 

 

 

 

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved