
KUALA LUMPUR: Anak sulung bekas Menteri Kewangan, Allahyarham Tun Daim Zainuddin, memohon Mahkamah Sesyen di sini hari ini menggantung sementara prosiding kes gagal mengisytiharkan harta yang dihadapinya.
Peguam bela, Muhammad Nizamuddin Abdul Hamid yang mewakili Asnida, 65, berkata, ia dibuat susulan terdapat permohonan untuk merujuk beberapa persoalan undang-undang berkaitan kes berkenaan ke Mahkamah Persekutuan.
Katanya, persoalan undang-undang itu mempunyai kaitan dengan kes sama yang dihadapi balu Daim, Toh Puan Na’imah Abdul Khalid.
“Dua kes berkenaan melibatkan hal yang sama dengan isu perundangan yang serupa,” katanya.
Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya, Nidzuwan Abd Latif membantah permohonan berkenaan dan memohon mahkamah memberi peluang untuk meneliti hujahan pembelaan terlebih dahulu.
“Buat masa ini kami membantah permohonan tersebut kerana isu undang-undang yang dibangkitkan adalah sama, namun fakta kes berbeza.
“Salinan permohonan pembelaan telah diserahkan kepada kami melalui e-mel pada Jumaat lepas. Jadi saya mohon mahkamah memberi masa 14 hari untuk kami memfailkan afidavit jawapan terlebih dahulu,” katanya.
Hakim Rosli Ahmad kemudian menetapkan sebutan semula kes bagi status permohonan pada 8 September ini.
Pada 7 April lalu, Asnida mengaku tidak bersalah atas pertuduhan tidak mematuhi terma notis oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bertarikh 8 November 2023.
Dia didakwa gagal mengisytiharkan pegangan saham dalam syarikat Amiraz Sdn. Bhd., Arida Farms Sdn. Bhd., Kangkung Catering Sdn. Bhd., Transgrade Sdn. Bhd. dan Gajah 3 Foods Sdn. Bhd.
Pertuduhan terhadapnya dikemukakan mengikut Seksyen 36(2) Akta SPRM 2009 yang membawa hukuman penjara maksimum lima tahun dan denda hingga RM100,000, jika sabit kesalahan. – UTUSAN
The post Asnida Daim mohon gantung kes gagal isytihar harta appeared first on Utusan Malaysia.


