Anak Daim mohon gantung kes isytihar harta

LocalPolitics
3 Aug 2026 • 12:07 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Anak Daim mohon gantung kes isytihar harta
Asnida (kiri) berbincang bersama peguamnya di luar Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada Isnin.

KUALA LUMPUR – Anak perempuan bekas Menteri Kewangan, Allahyarham Tun Daim Zainuddin, iaitu Asnida memohon kepada Mahkamah Sesyen di sini pada Isnin, agar prosiding kes gagal mengisytiharkan harta yang dihadapinya digantungkan sementara.

Peguam, Muhammad Nizamuddin Abdul Hamid yang mewakili Asnida, 65, berkata, permohonan penggantungan dibuat kerana terdapat satu permohonan merujuk beberapa persoalan undang-undang kepada Mahkamah Persekutuan di Putrajaya.

Katanya, ia melibatkan kes gagal mengisytiharkan harta membabitkan balu Daim, Toh Puan Na'imah Abdul Khalid.

“Dua kes berkenaan melibatkan hal yang sama dengan isu perundangan yang serupa,” katanya.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya, Nidzuwan Abd Latif membantah permohonan penggantungan berkenaan.

“Buat masa ini kami membantah permohonan tersebut kerana isu undang-undang yang dibangkitkan adalah sama, namun fakta kes berbeza.

“Salinan permohonan pembelaan telah diserahkan kepada kami melalui e-mel pada Jumaat lepas.

“Jadi saya mohon mahkamah memberi masa 14 hari untuk kami memfailkan afidavit jawapan terlebih dahulu,” katanya.

Selepas mendengar permohonan daripada kedua-dua pihak, Hakim, Rosli Ahmad menetapkan 17 Ogos untuk pemfailan afidavit jawapan untuk pihak pendakwaan manakala 1 September untuk balasan oleh pembelaan.

“Mahkamah menetapkan sebutan semula kes bagi status permohonan berkenaan pada 8 September depan,” kata Hakim.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa sengaja memberikan satu pernyataan bertulis dengan bersumpah yang tidak mematuhi terma notis di bawah Seksyen 36(1)(b) Akta SPRM 2009 bertarikh 8 November 2023.

Notis tersebut telah dihantar kepada tertuduh oleh seorang pegawai SPRM pada 14 November 2023, iaitu dengan tidak mengisytiharkan harta yang membabitkan pegangan saham di lima syarikat.

Ia membabitkan syarikat Amiraz Sdn Bhd, Arida Farms Sdn Bhd, Kangkung Catering Sdn Bhd, Transgrade Sdn Bhd dan Gajah3 Foods Sdn Bhd.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di Ibu Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Putrajaya, pada 13 Disember 2023.

Pertuduhan dibuat di bawah Seksyen 36(2) Akta SPRM 2009 yang membawa hukuman penjara tidak melebihi lima tahun dan boleh didenda maksimum RM100,000 jika sabit kesalahan.

Pada 4 Mac lalu, Mahkamah Persekutuan di Putrajaya akan mendengar dua persoalan undang-undang yang dicabar oleh Na'imah, 69, berkaitan kes gagal mengisytiharkan harta yang dihadapinya.

Hakim Mahkamah Tinggi di sini, Datuk Mohd Arief Emran Arifin memutuskan demikian selepas membenarkan permohonan Na'imah untuk merujuk persoalan undang-undang tersebut.

Dua persoalan tersebut ialah sama ada Seksyen 30(5) dan 36(2) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 melanggar hak untuk menyalahkan diri sendiri dan hak supaya tidak dipaksa mengemukakan bukti yang menunjukkan seseorang bersalah untuk digunakan dalam kes yang dihadapi.

 

 

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved