ASTAF perketat Sistem Kamera Semakan Cabaran

7 Sep 2026 • 3:36 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: ASTAF perketat Sistem Kamera Semakan Cabaran
ASTAF memperkemas penggunaan Sistem Kamera Semakan Cabaran pada Sukan Asia di Aichi-Nagoya bagi memastikan setiap keputusan pengadilan dibuat dengan lebih tepat, adil dan telus. - Foto : Agensi.

PERSEKUTUAN Sepaktakraw Asia (ASTAF) memperkemas penggunaan Sistem Kamera Semakan Cabaran pada Sukan Asia ke-20, Aichi-Nagoya 2026 bagi memastikan setiap keputusan pengadilan dibuat dengan lebih tepat, adil dan telus.

Temasya itu dijadual berlangsung dari 20 September hingga 3 Oktober ini, manakala pertandingan sepak takraw akan diadakan di Paloma Mizuho Stadium, Nagoya City, Aichi Prefecture.

ASTAF berkata, peraturan lebih ketat bagi sistem berkenaan penting untuk memperkukuh kredibiliti pengadilan, terutama ketika pengadil berdepan situasi sukar dan tekanan tinggi dalam menentukan keputusan.

Langkah itu turut menjadi sebahagian daripada komitmen ASTAF bersama Persekutuan Sepaktakraw Antarabangsa (ISTAF) bagi memastikan Undang-Undang Permainan Sepaktakraw dilaksanakan mengikut standard keadilan dan kesaksamaan tertinggi.

Sistem berkenaan memanfaatkan kamera berkelajuan bingkai tinggi yang membolehkan sesuatu aksi atau pergerakan pemain diteliti dengan lebih terperinci sebelum keputusan dibuat secara masa nyata menggunakan teknologi digital.

Keperluan terhadap sistem itu dilihat semakin penting kerana sepak takraw membabitkan pergerakan bola pada kelajuan tinggi, selain aksi pemain yang memerlukan fleksibiliti, ketepatan serta kemahiran teknikal pada tahap tinggi.

Menurut ASTAF, peningkatan penyertaan negara dalam sukan berkenaan turut menjadikan perebutan pingat di Aichi-Nagoya satu pencapaian yang semakin bernilai, manakala liputan televisyen dan media sosial dijangka menarik perhatian jutaan penonton dalam talian.

"Semakin banyak negara kini mula menceburi dan berkembang dalam sukan sepak takraw, memenangi pingat di Sukan Asia ke-20, Aichi-Nagoya 2026 menjadi satu pencapaian yang amat bernilai dan sangat berharga," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

ASTAF berkata, perhatian lebih besar daripada penonton, peminat, penaja dan pihak yang menyokong sukan itu secara tidak langsung meningkatkan penelitian terhadap setiap keputusan pengadilan.

"Perkara ini mengesahkan bahawa sepak takraw kini berada di bawah perhatian dan penelitian yang lebih tinggi daripada penonton, peminat, penaja serta pihak yang memberikan sokongan kepada sukan ini. Justeru, ketepatan dalam setiap keputusan amat diperlukan," katanya.

ASTAF menegaskan penggunaan Sistem Kamera Semakan Cabaran bukan sekadar membantu pengadil membuat keputusan dalam situasi mencabar, malah menjadi sebahagian daripada usaha berterusan memastikan semua negara yang bertanding mendapat layanan pengadilan yang adil dan saksama, selaras dengan Undang-Undang Permainan Sepaktakraw serta standard pengadilan antarabangsa.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved