Aston Villa tunduk kepada Monaco

FootballSports
22 Jan 2025 • 7:59 AM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Singo watak cemerlang buat Monaco di Stadium Louis II. Foto Agensi

KELAB Liga Perdana Inggeris, Aston Villa melepaskan peluang untuk mara awal ke pusingan kalah mati Liga Juara-Juara apabila tewas 0-1 kepada AS Monaco di Stadium Louis II pada Rabu.

Gol Wilfried Singo memastikan kelab Perancis itu menamatkan empat perlawanan tanpa kemenangan semua pertandingan untuk menduduki tempat ke-10 dengan 13 mata.

Villa pula, yang tidak tewas dalam lima perlawanan terakhir semua pertandingan, tergelincir ke tempat kelapan, slot terakhir ke pusingan kalah mati, juga dengan 13 mata.

Monaco mendahului minit kelapan apabila Singo menanduk masuk menewaskan penjaga gol Villa, Emiliano Martinez yang sebelum itu melakukan penyelamatan tandukan awal Thilo Kehrer.

Pelawat yang berjaya mengekang tekanan Monaco menikmati penguasaan separuh masa pertama, namun tidak dapat menyamakan kedudukan, apabila penjaga gol Monaco, Radoslaw Majecki menafikan percubaan Leon Bailey dan Ollie Watkins.

Pada separuh masa kedua, Unai Emery cuba menghidupkan serangannya dengan memasukkan Jhon Duran namun gagal menembusi pertahanan Monaco yang kukuh, dengan rembatan daripada Morgan Rogers dan Matty Cash tersasar.

Kekalahan itu menyaksikan Villa berkemungkinan perlu menewaskan Celtic di Villa Park minggu depan untuk mengelak daripada terpaksa ke kelayakan bagi slot fasa kalah mati.

“Apabila kami bermain permainan seperti ini, adalah penting untuk mendapatkan tiga mata.

"Saya rasa kami kehilangan peluang untuk berada dalam kelompok lapan teratas dengan lebih selesa kerana hari ini adalah peluangnya,” kata Emery.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved