
KUALA LUMPUR – Astro terus memperkukuh pengalaman Liga Perdana (Premier League) buat peminat bola sepak tempatan dengan menawarkan pelbagai kandungan serta aktiviti sepanjang musim baharu.
Ketua Pegawai Kandungan Astro, Agnes Rozario berkata, pihaknya mahu pengalaman mengikuti Premier League tidak hanya terhad kepada menonton perlawanan di rumah, sebaliknya mewujudkan ruang untuk peminat berkumpul dan berkongsi minat terhadap kelab masing-masing.
“Menonton di rumah adalah satu pengalaman yang hebat, tetapi Premier League mempunyai kelompok peminat yang sangat besar. Jadi, mengapa tidak kita kumpulkan mereka?
“Melalui sesi tontonan bersama, kita memberikan peluang kepada peminat daripada pelbagai kelab untuk berkumpul dan merasai pengalaman Premier League dengan lebih dekat,” katanya ketika ditemui Kosmo! selepas perasmian Premier League 2026/27 dan sesi menonton perlawanan bersama di WOW Plaza, Lalaport BBCC, Kuala Kumpur Sabtu lalu.
Menurut Agnes, pendekatan itu juga membolehkan peminat tempatan bertemu legenda serta individu yang pernah terlibat secara langsung dalam saingan Premier League tanpa perlu terbang ke England.
Katanya, tidak semua peminat berpeluang ke London untuk menyaksikan perlawanan secara langsung, malah mendapatkan tiket juga sukar meskipun mereka mempunyai kemampuan untuk ke sana.

Justeru, Astro membawa bekas penjaga gol England dan Arsenal, David Seaman bertemu peminat sempena acara pembukaan musim baharu Premier League yang turut menghimpunkan pelanggan, kelab penyokong serta rakan strategiknya.
Dalam pada itu, Agnes berkata, Astro turut memikul tanggungjawab untuk terus mengembangkan kelompok peminat Premier League di Malaysia, khususnya dalam kalangan wanita dan generasi lebih muda.
Usaha itu sebelum ini dilaksanakan menerusi program KL2PL, iaitu kandungan Astro yang membawa selebriti tempatan mendekati dunia Premier League termasuk pengalaman berkaitan liga berkenaan dengan dua musim telah diterbitkan.
Menurut Agnes, musim pertama KL2PL yang menampilkan antaranya Nabil dan Intan Serah menyaksikan jumlah tontonan meningkat kira-kira 40 peratus.
Musim kedua pula menampilkan antaranya Meerqeen, Abang Mad, Intan dan Nabil serta berjaya mencatat capaian melebihi sejuta penonton.
Astro kini mengambil pendekatan berbeza menerusi drama Premier League, I Love You yang dihasilkan dengan kerjasama Premier League dan bakal ditayangkan mulai 30 September menerusi Astro Ria, Astro GO serta Sooka.
Agnes berkata, drama berkenaan akan mengetengahkan budaya, tradisi serta kehidupan penyokong Premier League yang mungkin tidak diketahui ramai selain menjadi kaedah baharu untuk mendekatkan liga itu dengan penonton tempatan.

Sementara itu, ditanya mengenai pemilihan Danny Simpson sebagai pengulas bola sepak baharu Astro, Agnes berkata, beberapa calon telah dipertimbangkan bersama pihak Premier League sebelum bekas pemain Leicester City itu dicadangkan.
“Kami melihat ramai pengulas bola sepak dan bekerjasama dengan pihak Premier League dalam perkara ini. Mereka kemudian berkata, ‘Mengapa tidak cuba Danny Simpson? Kami fikir dia sangat bagus’.
“Sepanjang 15 tahun lalu, kami sudah membawa kira-kira 300 pengulas bola sepak. Jadi, kami sentiasa mahu mencuba individu baharu dan Danny Simpson pula merupakan juara Premier League, jadi mengapa tidak?” katanya.
Bagi musim baharu ini, Maxis tampil sebagai penaja penyiaran baharu Premier League di Astro bersama Wonda Coffee dan Zetrix by MYEG, dengan kerjasama tersebut bertujuan memberikan pengalaman bola sepak lebih menarik serta mendekatkan peminat dengan saingan Premier League sepanjang musim.
Astro juga akan terus menganjurkan sesi tontonan bersama di seluruh negara serta membawa lebih ramai bekas pemain dan pengulas bola sepak untuk bertemu peminat sepanjang musim ini, manakala kesemua 380 perlawanan Premier League boleh disaksikan secara langsung menerusi platform Astro, Sooka dan NJOI. – KOSMO! ONLINE
The post Astro bawa Premier League lebih dekat kepada peminat Malaysia appeared first on Kosmo Digital.




