sarah30/10/2026 - 09:53 Oleh SARAH NADLIN ROHIM editor@dagangnews.com KUALA LUMPUR 30 Okt - Nu Ideaktiv Sdn Bhd, syarikat usaha sama antara Astro dan Kumpulan Media Karangkraf, memperkenalkan identiti baharu seeNI sebagai langkah memperkukuh perniagaan media dan membuka sumber pendapatan baharu menerusi pengiklanan, penajaan serta kerjasama komersial.
Transformasi itu menyatukan pelbagai jenama media popular termasuk Media Hiburan, NONA, Remaja, Rasa, Mingguan Wanita, Keluarga, Pa&Ma dan Roda Panas di bawah satu ekosistem, sekali gus membolehkan pengiklan mengakses kandungan, bakat kreatif dan komuniti pengguna melalui satu platform bersepadu.
Ketua Pegawai Eksekutif Nu Ideaktiv, Syamil Fahim Mohamed Fahim berkata, peralihan kepada seeNI bukan sekadar penjenamaan semula, sebaliknya sebahagian daripada strategi memperluas nilai komersial syarikat dalam industri media yang semakin berkembang.
“Peralihan daripada Nu Ideaktiv kepada seeNI bukan sekadar perubahan identiti jenama. Ia mencerminkan aspirasi kami untuk menghimpunkan jenama media, bakat dan komuniti dalam satu ekosistem yang lebih bersepadu, sekali gus mewujudkan nilai yang lebih besar kepada pengguna dan rakan komersial kami,” katanya dalam satu kenyataan.
Menurut beliau, strategi baharu itu berteraskan tiga tunjang utama iaitu Komuniti, Kandungan dan Komersial, dengan tumpuan kepada kempen pemasaran bersepadu yang menggabungkan kandungan relevan, penglibatan khalayak serta kerjasama dengan bakat kreatif.
“Dalam melangkah ke fasa baharu ini, keutamaan kami adalah untuk memperkukuh kerjasama, membuka peluang pendapatan baharu dan membina perniagaan yang lebih mampan untuk masa hadapan,” katanya.
Menerusi inisiatif seeNI Collective, syarikat itu turut menjalinkan kerjasama dengan TVS dan Novel Karangkraf dalam penerbitan serta adaptasi kandungan, Komet Productions bagi pembangunan bakat kreatif, selain Kuala Lumpur Fashion Week (KLFW) dan Fashionably Modest Asia (FMA) dalam segmen fesyen dan gaya hidup.
Pada masa sama, seeNI Talent diperkenalkan bagi menghubungkan bakat dengan peluang kempen jenama, acara dan projek komersial berdasarkan kesesuaian khalayak serta keperluan pengiklan, sekali gus memperluas penawaran syarikat melangkaui pengiklanan konvensional.
Hala tuju baharu itu diperkenalkan menerusi acara 'The New World of seeNI' di D’Theatre Malaysia, Hextar World at Empire City pada 29 Oktober 2026, yang turut mengetengahkan perancangan kandungan dan barisan bakat bagi 2027, sekali gus menandakan fasa baharu Nu Ideaktiv yang ditubuhkan pada 2018 hasil kerjasama strategik Astro dan Karangkraf.- DagangNews.com





