Revenue IF sasar pasaran Arab Saudi, UAE menerusi kerjasama dengan syarikat China ATT

LocalBusiness & Finance
26 Oct 2026 • 9:44 AM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Revenue IF sasar pasaran Arab Saudi, UAE menerusi kerjasama dengan syarikat China ATT Image from: Revenue IF sasar pasaran Arab Saudi, UAE menerusi kerjasama dengan syarikat China ATT sarah26/10/2026 - 09:44 Oleh SARAH NADLIN ROHIM editor@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 26 Okt - Revenue IF Berhad (Revenue) menyasarkan peluang pengembangan perniagaan pembayaran digital di Arab Saudi dan Emiriah Arab Bersatu (UAE) menerusi kerjasama strategik dengan Assets Singularity Technology Holding Limited (ATT), sebuah syarikat infrastruktur aset digital berpangkalan di Beijing dan Hong Kong.

 

Kerjasama itu membuka peluang kepada kumpulan teknologi pembayaran tempatan berkenaan untuk memanfaatkan rangkaian ATT di pasaran antarabangsa, termasuk hubungan dengan institusi kerajaan, institusi kewangan dan syarikat korporat bagi menawarkan penyelesaian pembayaran digital secara menyeluruh.

 

Menerusi perjanjian rangka kerja tersebut, kedua-dua syarikat turut merancang meneroka projek penerbitan bon dalam mata wang renminbi (RMB) di luar negara, khususnya dalam penyediaan infrastruktur pembayaran dan penyelesaian transaksi rentas sempadan.

 

Revenue akan menyediakan perkhidmatan kutipan pembayaran, pengagihan dana dan penyelesaian transaksi rentas sempadan termasuk urusan langganan bon, pembayaran kupon serta penebusan bon, manakala ATT bertanggungjawab menyediakan infrastruktur aset digital bagi menyokong penerbitan dan perdagangan aset berkenaan.

 

Pengarah Eksekutif Revenue, Teh Chee Hoe berkata, kerjasama tersebut dijangka mempercepat rancangan pengembangan antarabangsa kumpulan dengan memanfaatkan hubungan ATT bersama kerajaan dan institusi kewangan di pelbagai pasaran.

 

"Walaupun Malaysia kekal sebagai asas perniagaan kami, pengembangan kepada penyelesaian pembayaran menyeluruh dan pasaran antarabangsa akan menjadi pemangkin kepada fasa pertumbuhan seterusnya," katanya dalam kenyataan.

 

Bagaimanapun, berdasarkan pengumuman kepada Bursa Malaysia, perjanjian rangka kerja berkenaan mempunyai tempoh awal tiga tahun dan pelaksanaan projek khusus masih tertakluk kepada pemeteraian perjanjian komersial berasingan serta keperluan kawal selia berkaitan. Kerjasama itu juga tidak dijangka memberi kesan material terhadap pendapatan sesaham, aset bersih sesaham atau tahap keberhutangan kumpulan bagi tempoh kewangan berakhir 31 Mac 2027.

 

Revenue, yang ditubuhkan pada 2003 dan dahulunya dikenali sebagai Revenue Group Berhad, kini mempunyai kira-kira 87,000 terminal pembayaran di pasaran dengan purata transaksi diproses sekitar RM450 juta sebulan. Kumpulan itu menukar namanya kepada Revenue IF Berhad pada Oktober 2026 bagi mencerminkan tumpuan lebih luas terhadap teknologi, pemprosesan dan keselamatan pembayaran.- DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved