sarah30/10/2026 - 18:49 Oleh SARAH NADLIN ROHIM editor@dagangnews.com KUALA LUMPUR 30 Okt - Citaglobal Berhad memperkukuh strategi menjana aliran pendapatan berterusan menerusi dua projek hidroelektrik di Perak yang berpotensi menyumbang sehingga RM19 juta setahun, sebagai sebahagian usaha mengurangkan kebergantungan terhadap kontrak pembinaan.
Menurut Laporan Tahunan 2026 syarikat, projek hidroelektrik di Slim dan Kampar merupakan antara pelaburan utama kumpulan dalam sektor tenaga boleh diperbaharui, selain pembangunan solar terapung dan biogas.
Citaglobal sebelum ini mengumumkan cadangan pengambilalihan 70% kepentingan dalam Zeqna Corporation Sdn Bhd, yang memiliki Loji Hidro Slim berkapasiti 6 megawatt (MW), serta 70% dalam Koridor Mentari Sdn Bhd, yang membangunkan Loji Hidro Kampar berkapasiti 6MW.
Perkembangan terbaharu menyaksikan anak syarikat milik penuhnya, Citaglobal Renewable Energy Sdn Bhd, memeterai perjanjian tambahan pada 9 Oktober 2026 yang mengurangkan harga cadangan pengambilalihan kepentingan dalam Zeqna daripada RM15 juta kepada RM14.5 juta.
Loji Hidro Slim telah beroperasi sejak Julai 2019, manakala projek Kampar masih dalam pembangunan. Kedua-duanya dijangka menyumbang kepada aliran pendapatan berterusan melalui perjanjian pembelian tenaga boleh diperbaharui jangka panjang dengan Tenaga Nasional Berhad (TNB), tertakluk kepada penyempurnaan pengambilalihan berkaitan.
Pengerusi Eksekutif dan Presiden Citaglobal, Tan Sri Mohamad Norza Zakaria dalam laporan tahunan itu berkata, kumpulan sedang membangunkan portfolio tenaga baharu bagi membina asas pendapatan yang lebih konsisten dan secara berperingkat mengurangkan kebergantungan kepada pendapatan berasaskan projek.
Selain hidroelektrik, Citaglobal turut mengembangkan portfolio tenaga boleh diperbaharui menerusi projek solar terapung Chereh berkapasiti 200MW di Pahang, yang dibangunkan bersama Masdar dan TIZA Global Sdn Bhd. Projek itu memperoleh pembiayaan kira-kira RM580 juta daripada tiga pemberi pinjaman antarabangsa pada 27 Oktober 2026 dan dijangka memulakan operasi pada 2028.
Bagi tempoh kewangan 18 bulan berakhir 30 Jun 2026, Citaglobal mencatatkan hasil RM606.2 juta dan keuntungan bersih yang boleh diagihkan kepada pemilik syarikat sebanyak RM25.2 juta, dengan perniagaan kejuruteraan awam dan pembinaan kekal sebagai penyumbang utama hasil kumpulan.
Segmen pembinaan menjana hasil RM292.3 juta atau 48.2% daripada keseluruhan hasil, manakala kumpulan memiliki buku tempahan kira-kira RM1.4 bilion yang menyediakan asas aktiviti perniagaan dalam tempoh sederhana.
Bagaimanapun, Citaglobal mengakui pembangunan projek tenaga boleh diperbaharui masih terdedah kepada risiko kelewatan kelulusan, pembinaan dan sambungan grid. Justeru, kumpulan memberi tumpuan kepada pelaksanaan projek serta pengurusan modal secara berdisiplin bagi merealisasikan potensi aliran pendapatan berterusan dalam jangka panjang.- DagangNews.com





