ASUS ialah sebuah jenama perkakasan dan aksesori komputer yang tidak lagi asing untuk pasaran Malaysia. Tidak lama selepas melancarkan siri komputer riba ASUS Zenbook S14 dengan cip pemprosesan Intel Lunar Lake terbaru, ASUS Malaysia hari ini telah mengumumkan bahawa mereka akan membawa masuk siri komputer riba ASUS ExpertBook P1 dan juga ASUS ExpertBook P5 untuk pasaran tempatan.

Bermula dengan ASUS Expertbook P1, komputer riba ini hadir dengan pilihan paparan skrin IPS bersaiz 14.0 inci dan 15.6 inci dengan resolusi Full HD dan mempunyai nilai kecerahan setinggi 300 nit. Ia dikuasakan oleh pilihan cip pemprosesan Intel Core i7-13700H ataupun Intel Core i5-13500H dengan pilihan memori 8GB dan 16GB bergantung kepada model yang dipilih, bersama storan SSD PCIe4 sebesar 512GB. Jika anda mahu, anda juga boleh memilih untuk menaiktarafkan storan dengan dua slot M.2 tambahan.

Kedua-dua komputer riba ini juga tiba dengan dua palam USB 3.2 Type-C dan dua palam USB 3.2 Type-A yang membolehkan pengguna memasang pelbagai jenis aksesori komputer kepada komputer riba mereka sekiranya mereka mahukan.
Dengan gabungan berat serendah 1.4kg bersama-sama dengan nipis 1.99cm, digabungkan dengan bateri 63Wh, ASUS ExpertBook P1 adalah sebuah komputer riba kelas nipis dan ringan yang mudah dibawa kemana-mana.

Untuk anda yang mahukan kecekapan yang tiada bandingan, ASUS ExpertBook P5 mungkin untuk anda. Ia tampil dengan paparan skrin IPS 14.0 inci yang hadir dengan resolusi setinggi 2560×1600 dengan nilai kecerahan 400 nit.
Ia dikuasakan oleh cip pemprosesan Intel Core Ultra 7 258V terbaru yang dimuatkan dengan memori LPDDR5X terbina sebanyak 32GB dan hadir dengan storan SSD PCIe4 sebesar 1TB.

Dari segi palam pula, ASUS ExpertBook P5 tampil dengan dua palam Thunderbolt 4 terbina, bersama-sama dengan dua palam USB 3.2 Type-A, satu palam audio 3.5mm dan satu palam HDMI 2.1 jika anda mahu menyambungkan komputer riba ini ke paparan skrin besar.
Sama seperti ExpertBook P1, model ExpertBook P5 juga tampil dengan bateri 63Wh yang sama, tetapi didalam rangka aluminum yang lebih nipis dan ringan (1.49cm, 1.27kg) yang bukan sahaja menjanjikan jangkahayat bateri sepanjang hari, tetapi juga sangat mudah dibawa kemana-mana.

Sebagai sebuah komputer riba kelas AI Copilot+ PC, ASUS ExpertBook P5 tampil dengan sejumlah kemampuan AI terbina, khususnya untuk kualiti kamera yang lebih baik, dan juga mikrofon dengan kemampuan pembatalan hingar yang dilihat memperbaiki mutu audio khususnya jika anda memasuki sesi telesidang di luar pejabat.


Kedua-dua model ASUS ExpertBook P1 dan ExpertBook P5 akan hadir di pasaran tempatan pada 22 November 2024, dimana ASUS ExpertBook P1 akan ditawarkan dalam tiga pilihan model, termasuklah dua model 14 inci dan satu model 15.6 inci pada harga RM3799 (14 inci, Intel Core i5, 8GB RAM), RM4759 (14 inci, Intel Core i7, 16GB RAM) dan RM3849 (15 inci, Intel Core i5, 8GB RAM). ASUS ExpertBook P5 pula akan ditawarkan pada harga RM6859
