ASUS Memperkenalkan Ciri AI Generatif Pada Zen UI

TechnologyDigital
15 Mar 2024 • 9:12 AM MYT
Amanz
Amanz

Amanz merupakan laman berita dunia teknologi serta ulasan peranti terkini.

Malam tadi semasa pelancaran ASUS Zenfone 11 Ultra, ASUS turut telah mengumumkan perkhidmatan AI Generatif oleh mereka bagi bersaing dengan peranti mercu lain yang turut melakukan perkara sama. Berikut adalah ciri AI yang boleh digunakan;

AI Noise Cancellation

AI ini boleh mengaktifkan mod pembatalan hingar tidak kira dengan aplikasi apa atau set fon telinga apa. ASUS menggunakan pembelajaran mesin dan juga algoritma yang boleh menentukan bunyi bising di persekitaran untuk dibisukan agar pengguna dapat menikmati sesi telesidang atau pengalaman mendengar muzik yang terbaik.

image is not available

AI Transcript

Ciri ini adalah sama seakan pada Google Pixel di mana aplikasi perakam suara boleh mengeluarkan transkrip untuk rujukan pengguna. Setiap teks turut boleh dicari dan mempunyai garis masa agar mudah untuk pengguna menyemak semula setiap rakaman suara.

image is not available

AI Call Translatot

AI ini pula mirip dengan Call Assist pada Samsung Galaxy AI di mana panggilan telefon yang dilakukan atau yang diterima boleh diterjemah ke bahasa lain dengan AI. Setiap penterjemahan akan mempunyai transkrip teks dan audio turut akan diterjemah. Ciri ini akan memudahkan pengguna berbual dalam bahasa asing.

image is not available

AI Semantic Search

Ciri carian seperti ini sebenarnya sudah lama wujud pada Google Photos. Cuma dengan model bahasa raya AI yang telah dilatih dengan pelbagai perkara, ciri AI Semantic Search boleh mencari apa jua jenis gambar dengan kata kunci yang ringkas. Ia ibarat memasukkan prom tetapi hasilnya adalah gambar dalam galeri peranti pengguna.

image is not available

AI Wallpaper

Samsung ada, Google Pixel ada dan Nothing pun ada. ASUS turut tidak ingin ketinggalan dengan ciri AI Wallpaper. Pengguna hanya perlu pilih tema dan gaya yang tersedia untuk menjana imej latar belakang yang unik dan eksklusif.

image is not available

Buat masa ini ASUS mendedahkan yang ciri AI ini ada pada hanya ada pada Zen UI Android 14 untuk Zenfone 11 Ultra. Butiran mengenai model bahasa raya yang digunakan atau adakah peranti ASUS lain akan menerima ciri ini tidak dikongsi lagi buat masa ini.