ASUS ROG NUC 16 Diperkenalkan Dengan Gabungan Komponen Intel Dan NVIDIA Terbaru

LocalTechnology
18 May 2026 • 1:49 PM MYT
Amanz
Amanz

Amanz merupakan laman berita dunia teknologi serta ulasan peranti terkini.

ASUS baru-baru ini telah memperkenalkan kemaskini kepada siri komputer desktop gaming mereka dengan ASUS ROG NUC 16 terbaru yang menggabungkan cip pemprosesan Intel Arrow Lake Refresh-HX terbaru dan kad grafik NVIDIA yang mana kedua-dua daripadanya ialah komponen kelas komputer riba.

Bermula dengan komponen CPU, ASUS menawarkan pilihan cip Intel Core Ultra 9 290HX Plus dan Intel Core Ultra 7 270HX Plus dengan memori DDR5 2x8GB dan 2x16GB dan storan SSD PCIe 4.0 ataupun 5.0 dengan saiz storan sehingga 2TB.

Image from: ASUS ROG NUC 16 Diperkenalkan Dengan Gabungan Komponen Intel Dan NVIDIA Terbaru

Dalam pada itu, komputer ini juga hadir dengan tawaran kad grafik NVIDIA GeForce RTX 5060 sehinggalah NVIDIA GeForce RTX 5080 untuk pengalaman gaming yang cukup hebat sekali, walaupun pada resolusi 4K.

ROG NUC 16 menampilkan sistem penyejukan QuietFlow dengan reka bentuk terma unik yang menggabungkan tiga kipas dan ruang wap berkembar. Reka bentuk ini membolehkan liputan penyejukan yang jauh lebih besar dalam casis tiga liter yang padat. Ia juga mempunyai tapak terbina yang membolehkan komputer ini digunakan dalam kedudukan berdiri ataupun mengiring.

Image from: ASUS ROG NUC 16 Diperkenalkan Dengan Gabungan Komponen Intel Dan NVIDIA Terbaru

Dengan sistem penyejukan ini, komponen-komponen penting seperti CPU, GPU dan storan boleh beroperasi pada tahap suhu optima, disamping pada tahap bunyi yang cukup rendah sekali, iaitu 38dBA walaupun apabila komputer ini digunakan untuk tugasan berat.

ASUS juga memperkenalkan komputer ROG NUC 16 ini dalam pilihan warna Moonlight White yang lebih cantik. ASUS Malaysia mengatakan bahawa komputer ASUS NUC 16 ini akan memasuki pasaran Malaysia kelak, tetapi belum memberi kata putus tentang bilakah ia akan tiba.