
Pada awal tahun ini, ASUS ROG telah memperlihatkan sejumlah produk-produk baru yang akan dilancarkan sepanjang tahun ini, termasuklah kaca mata gaming AR pertama mereka, ASUS ROG XReal R1.

Ia dilancarkan sebagai sepasang cermin mata AR gaming pertama di dunia yang menggunakan skrin Micro OLED FHD dengan kadar segar semula 240Hz. Apabila dipadankan dengan peranti seperti ASUS ROG Xbox Ally, ia menjadi skrin maya sehingga 171 inci dengan jarak pandangan 4 meter.

Ciri lain ialah sudut pandangan 57 darjah dan sistem audio Bose terbina pada bahagian tangkai. Sambungan boleh dilalukan terus menggunakan kabel USB-C atau menerusi dermaga ROG Control Dock. Ia mempunyai dua sambungan HDMI 2.0 dan satu sambungan DP 1.4. Berat keseluruhan cermin mata ialah 91 gram.
Terkini, ASUS Malaysia telah mengesahkan bahawa kaca mata ROG XReal R1 ini akan memasuki pasaran Malaysia pada penghujung bulan Julai 2026 dengan harga RM4700.


