Pada pertengahan bulan April, kami telah membuat pengumuman tentang pelancaran cip pemprosesan komputer riba mampu-milik Intel yang terbaru, iaitu Wildcat Lake yang memperlihatkan mereka menggunakan nama model Intel Core 300.

Baru-baru ini, Honor, jenama pembuat perkakasan dan peranti elektronik telah mengumumkan kemaskini terbaru kepada siri komputer riba Honor Notebook X14 mereka, yang mana model pada tahun ini nampaknya akan menjadi komputer riba pertama yang akan hadir ke pasaran menggunakan cip pemprosesan tersebut.

Komputer riba tersebut, yang hadir dengan nama Honor Notebook X14 Combat Edition akan tampil menggunakan cip pemprosesan Intel Core 5 320 dengan 16GB memori LPDDR5 dan SSD PCIe 4.0 sebesar 512GB.

Dari segi pilihan paparan pula, ia nampaknya hadir dengan paparan skrin IPS pada saiz 14 inci dengan resolusi 1920×1200 dengan nilai kecerahan 300 nits. Oleh kerana cip pemprosesan yang digunakan juga adalah berkuasa rendah (tanpa teras Performance terbina), komputer ini boleh dicas menggunakan pengecas 60W dan hadir dengan bateri berkapasiti 60WHr.

Komputer riba ini akan mula ditawarkan di pasaran China terlebih dahulu pada harga 4399 yuan (harga promosi). Buat masa ini ia tidak diketahui lagi sekiranya komputer riba ini akan ditawarkan di pasaran-pasaran lain.






