AMD Ryzen 9 7945HX3D Diperkenalkan – CPU AMD 3D V-Cache Pertama Untuk Komputer Riba

TechnologyDigital
28 Jul 2023 • 1:22 PM MYT
Amanz
Amanz

Amanz merupakan laman berita dunia teknologi serta ulasan peranti terkini.

Siri cip pemprosesan AMD Ryzen dengan teknologi 3D V-Cache dibangunkan khusus untuk meningkatkan prestasi gaming pengguna menggunakan cip memori yang terbina didalam CPU. Secara ringkasnya ia membantu CPU untuk mengakses memori sistem dengan lebih pantas dan mengeluarkan lebih banyak arahan kepada komponen kad grafik dengan lebih cepat.

image is not available

Sehingga kini, cip pemprosesan AMD Ryzen X3D hanya hadir untuk komputer kelas desktop sahaja, tetapi hari ini AMD telah memperkenalkan cip pemprosesan AMD Ryzen 9 7945HX3D khusus untuk komputer riba kelas gaming.

Cip pemprosesan ini hadir dengan 16 teras fizikal dan 32 bebenang kuasa dan mempunyai kelajuan Boost Clock sepantas 5.4GHz. Dari segi penawaran 3D V-cache, ia dibina dengan memori L3 sebanyak 144MB didalamnya untuk membolehkan CPU ini mengakses memori sistem dengan lebih cepat.

image is not available

Dari segi prestasi, AMD mengatakan bahawa cip pemprosesan ini adalah 15 peratus lebih pantas berbanding dengan cip AMD Ryzen 9 7945HX sebelum ini dengan penggunaan kuasa TDP dalam julat 55W ke 75W pada resolusi 1080p.

Dari segi penawaran, diantara komputer riba pertama yang dilihat akan menggunakan cip pemprosesan ini ialah ASUS ROG STRIX SCAR 17 X3D, yang akan hadir dengan spesifikasi yang sangat berkuasa, seperti memori DDR5 sebanyak 32GB, storan SSD PCIe 4.0 sebesar 1TB dan juga kad grafik NVIDIA GeForce RTX 4090.

image is not available

Komputer riba gaming ini akan dijual di pasaran-pasaran tertentu bermula 22 Ogos ini, tetapi buat masa ini ia masih tidak diketahui samada ASUS Malaysia akan membawa masuk komputer riba tersebut untuk pasaran tempatan ataupun tidak.

Ia dijangka bahawa komputer-komputer riba gaming yang dikuasakan cip pemprosesan AMD Ryzen 9 7945HX3D ini akan ditawarkan selepas itu.