ASUS Zenfone 10 dilancarkan secara rasminya hari ini sebagai sebuah peranti mercu bersaiz kompak baharu yang menarik. Pelbagai penambahbaikan telah dibuat dari segi fungsi dan ciri bagi menjadikannya cukup baik dalam kelasnya.

Peranti dilengkapi skrin AMOLED sebesar 5.9″ FHD+ yang juga menyokong kadar segar 144Hz lebih tinggi berbanding 120Hz yang digunakan pada Zenfone 9. Skrin juga menyokong beberapa ciri tambahan lain seperti dilindungi Corning Gorilla Glass Victus, kecerahan puncak 1,100nits dan menyokong HDR.
Cip Snapdragon 8 Gen 2 digunakan sebagai tunjang utama, seterusnya pilihan memori pula sehingga 16GB RAM LPDDR5X dan storan dalaman mencapai 512GB UFS 4.0. Kapasiti bateri pula sebesar 4300mAh yang juga menyokong pengecasan berwayar 30W dan nirwayar 15W.

Turut melengkapi peranti adalah kamera utama 50MP (Sony IMX766) + 12MP (ultra-lebar). Menariknya lagi apabila sistem kamera ini turut disertakan penstabilan gimbal enam paksi 2.0, di samping turut menggabungkan OIS dan EIS bersama untuk kestabilan rakaman lebih baik. Rakaman sehingga 8K UHD/24FPS turut boleh dibuat di sini namun terhad untuk kamera utama sahaja. Sementara itu kamera swafoto 32MP sekadar menyokong rakaman 1080P/30FPS.
Lain-lain spesifikasi termasuklah bicu audio 3.5mm, pembesar suara stereo dengan teknologi audio Dirac HD Sound, kalis air IP68, sambungan USB-C, WiFi 6E dan menjalankan Android 13. Harga jualan bermula EUR799 (~RM4,059) namun tiada maklumat mengenai ketersediaan di Malaysia yang diketahui buat masa ini.
