Asyraf Wajdi dukacita tragedi kebakaran di Raub, salah seorang mangsa adalah pelajar cemerlang Mara

26 Feb 2026 • 12:58 PM MYT
Scoop.my
Scoop.my

News You Can Use, Investigative Reports, Sports, Videos, and Analysis

image is not available

KUALA LUMPUR - Salah seorang mangsa yang maut dalam tragedi kebakaran yang mengorbankan lima nyawa di Kampung Pamah Kulat, Raub, Pahang, adalah pelajar Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Bentong dan sedang menunggu keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Menurut Pengerusi MARA, Datuk Asyraf Wajdi Dusuki, pelajar tersebut, Ruby Adira Batreisya Mohd Alawi juga adalah pelajar cemerlang daripada keluarga yang susah dan dimasukkan ke dalam bantuan Budi Mara.

Menerusi hantaran di Facebook, Asyraf berkata beliau amat terkesan dan dukacita dengan insiden yang menyayat hati itu.

“Lebih menyentuh hati, kakaknya terselamat kerana sedang menuntut di matrikulasi, manakala adiknya tidak berada di rumah kerana menetap di asrama SMK Dong.

“Pastinya ujian ini terlalu berat untuk dipikul, kehilangan insan tersayang dalam sekelip mata, apatah lagi melibatkan hampir seluruh ahli keluarga,’’ katanya.



Beliau turut memaklumkan MARA akan menghulurkan bantuan sewajarnya serta memastikan kebajikan ahli keluarga yang ditinggalkan terus diberi perhatian serta sokongan yang diperlukan dalam tempoh sukar ini.

Dalam kejadian pada jam 3.55 pagi tadi, lima sekeluarga iaitu suami isteri dan tiga anak perempuan mereka maut selepas rumah mereka terbakar.

Menurut Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang Datuk Mohd Razam Taja Rahim, bomba tiba di lokasi kejadian pada 4.15 pagi dan operasi pemadaman berjaya mengawal api pada 4.48 pagi.

Beliau berkata kebakaran itu memusnahkan 100 peratus struktur rumah selain turut melibatkan masing-masing tiga kereta dan motosikal. - 26 Februari, 2026

The post Asyraf Wajdi dukacita tragedi kebakaran di Raub, salah seorang mangsa adalah pelajar cemerlang Mara appeared first on Scoop.