Sedang Tunggu Keputusan SPM, Pelajar MRSM Bentong Antara 5 Sekeluarga M*ut Dalam Kebakaran

26 Feb 2026 • 5:51 PM MYT
Lobak Merah
Lobak Merah

Laman socialtainment #1 di Malaysia. Dapatkan isu-isu terkini setiap hari.

Artikel ini diterbitkan dari Lobak Merah.

image is not available

Lima sekeluarga maut dalam satu kebakaran di sebuah rumah di Kampung Pamah Kulat, Jalan Ulu Dong di Raub, awal pagi tadi, yang mana salah seorang mangsa merupakan pelajar Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) Bentong.

Pengerusi MARA, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, mengesahkan perkara tersebut, katanya, mangsa Allahyarhamah Ruby Adira Batreisya Mohd Alawi, 17 kini sedang menunggu keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

image is not available

Sebelum ini, Ketua Polis Daerah Raub, Superintendan Mohd Shahril Abdul Rahman berkata, insiden yang menyayat hati itu turut meragut nyawa ibu bapanya, Mohd Alawi Muhammad, 56, dan Zaleha Adam @ Ibrahim, 44, serta dua lagi adik beradik mangsa, Ruby Adlina Banin Mohd Alawi, 14, dan Ruby Azyan Barizah Mohd Alawi, 10.

image is not available

Dalam pada itu, dua orang lagi anak kepada pasangan itu tiada di rumah ketika waktu kejadian kerana sedang menetap di asrama.

Dua beradik yang kini anak yatim piatu iaitu Ruby Adalia Balqis Mohd Alawi, 19, kini sedang mengikuti pengajian di Kolej Matrikulasi Gambang, Kuantan, manakala Ahmad Balia Murqam Mohd Alawi, 15, pula bersekolah di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Dong.

Sementara itu, Asyraf Wajdi dalam satu kenyataan, hari ini, mengaku beliau sangat terkesan serta cukup berdukacita atas insiden tragis yang berlaku sekitar jam 3.44 pagi itu.

image is not available

Katanya lagi, kebakaran tersebut telah memusnahkan 100 peratus struktur rumah, manakala tiga kereta dan tiga motosikal turut hangus.

“Pastinya, ujian ini terlalu berat untuk dipikul – kehilangan insan tersayang dalam sekelip mata, apatah lagi membabitkan hampir seluruh ahli keluarga.”

“MARA amat berdukacita atas insiden menyayat hati ini. Insya-Allah, pihak MARA akan menghulurkan bantuan sewajarnya dan memastikan kebajikan ahli keluarga yang ditinggalkan itu terus diberi perhatian serta sokongan diperlukan dalam tempoh sukar ini.”

image is not available

 

Di samping itu, Asyraf Wajdi turut menitipkan doa agar roh mangsa dicucuri rahmat dan ditempatkan dalam kalangan hamba-Nya yang beriman. Al Fatihah.

Sumber : Berita Harian

Artikel ini diterbitkan dari Lobak Merah.