
KOTA BHARU: Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki hadir ke Muktamar Pas Ke-72 di Pusat Tarbiah Islamiah Kelantan (PUTIK), di sini hari ini, bagi mewakili Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi.
Kehadiran Asyraf Wajdi bersama barisan kepemimpinan UMNO Kelantan mengukuhkan lagi perhatian terhadap hubungan antara UMNO dan Pas, terutama ketika agenda penyatuan ummah kembali menjadi tumpuan.
Turut hadir Pengerusi Perhubungan UMNO negeri, Datuk Ahmad Jazlan Yaakob; Setiausaha Barisan Nasional (BN) negeri, Datuk Md. Alwi Che Ahmad serta barisan ketua bahagian.
Kehadiran pemimpin tertinggi UMNO itu disambut meriah oleh pemimpin Pas.
Ini adalah kali kedua pemimpin UMNO menghadiri Muktamar Pas selepas 2019.
Pada Muktamar Pas 2019 yang berlangsung di Pahang, UMNO diwakili Timbalan Presiden ketika itu, Datuk Seri Mohamad Hasan.
Utusan Malaysia semalam melaporkan, penyatuan ummah antara Pas dan UMNO dilihat semakin menjadi kenyataan apabila Ahmad Zahid dijangka hadir pada Muktamar Tahunan Pas Ke-72 hari ini. – UTUSAN
The post Asyraf Wajdi ganti Ahmad Zahid ke Muktamar Pas appeared first on Utusan Malaysia.






