Asyraf Wajdi jawab spekulasi kelewatan pengumuman calon BN

LocalPolitics
25 Jun 2026 • 12:10 AM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Asyraf Wajdi jawab spekulasi kelewatan pengumuman calon BN
Asyraf Wajdi (kiri) menerusi hantaran di Facebooknya pada Rabu menjelaskan punca kelewatan pengumuman calon BN dan memohon maaf kepada semua pihak.

SHAH ALAM – UMNO tampil menjawab pelbagai andaian dan spekulasi tidak berasas susulan kelewatan pengumuman calon Barisan Nasional (BN) bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

Setiausaha Agungnya, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, majlis pengumuman yang sepatutnya bermula pada jam 3 petang ditangguhkan sehingga jam 4.30 petang disebabkan prosedur pemilihan calon parti.

"Untuk pengetahuan semua, setiap calon bukan sahaja perlu berbaiah untuk kekal setia dan tidak melompat parti jika menang.

"Tetapi, setiap calon juga perlu melalui tapisan ketat bagi menyemak profil masing-masing dari aspek kebankrapan, bebas daripada sebarang kes jenayah, Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) serta Jabatan Agama Islam (bersih daripada isu berkaitan kesalahan syariah).

"Setiap calon mesti melalui proses menandatangani beberapa dokumen perjanjian dan kontrak di hadapan peguam serta Pesuruhjaya Sumpah," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Sebelum ini, wujud khabar angin yang mendakwa BN dan Perikatan Nasional (PN) akan bekerjasama pada PRN kali ini dengan calon daripada parti berkenaan menggunakan logo BN.

Bagaimanapun, dakwaan tersebut meleset sama sekali apabila calon yang diumumkan oleh Datuk Onn Hafiz Ghazi semuanya daripada BN, selain beliau menegaskan sekali lagi bahawa parti itu akan bertanding secara solo.

Menurut Asyraf, proses berkenaan bermula pada pukul 10.30 pagi dan pada awalnya dijangka selesai pada pukul 2.30 petang, namun berlanjutan sehingga pukul 4 petang kerana melibatkan 56 calon BN.

"Bagi pihak UMNO dan BN, saya memohon maaf kepada semua penyokong, jentera parti dan rakan-rakan media yang terpaksa menunggu lama untuk mendengar pengumuman rasmi daripada Pengerusi BN Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi.

"Semoga Allah memberikan kemenangan kepada semua calon BN demi kesejahteraan rakyat Johor," katanya.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved