Asyraf Wajdi wakili Ahmad Zahid ke Muktamar Pas

LocalPolitics
4 Sep 2026 • 12:26 PM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: Asyraf Wajdi wakili Ahmad Zahid ke Muktamar Pas

PETALING JAYA – Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki hari ini menghadiri Muktamar Tahunan Pas Kali Ke-72 di Pusat Tarbiah Islamiah Kelantan (PUTIK), Pengkalan Chepa, Kelantan bagi mewakili Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi.

Kehadiran pimpinan tertinggi UMNO ke muktamar Pas itu mencuri perhatian ketika hubungan antara kedua-dua parti Melayu terbesar negara kembali menjadi tumpuan susulan ura-ura mengenai kemungkinan kerjasama politik antara mereka.

Asyraf Wajdi berkata, beliau hadir mewakili Ahmad Zahid pada muktamar berkenaan selain menzahirkan harapan supaya permuafakatan antara UMNO dan Pas dapat terus diperkukuhkan.

“Semoga permuafakatan antara dua parti Melayu terbesar UMNO dan Pas ini terus diperkukuh dan memberi manfaat yang besar dalam memperjuangkan agama, membela kepentingan bangsa serta memastikan masa depan negara terus terpelihara,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.

Terdahulu, Ahmad Zahid dijangka menghadiri muktamar tersebut, namun Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan memaklumkan Presiden UMNO itu tidak dapat hadir pada saat akhir disebabkan urusan yang tidak dapat dielakkan.

Untuk rekod, kehadiran wakil UMNO kali ini dianggap signifikan kerana kali terakhir pimpinan parti itu hadir ke Muktamar Pas adalah pada 2019 ketika kedua-dua parti sedang menggerakkan agenda penyatuan ummah menerusi Muafakat Nasional.

Dalam masa yang sama, UMNO turut bersetuju menjemput kepimpinan tertinggi Pas menghadiri Perhimpunan Agung UMNO 2026 yang dijadual berlangsung pada 9 hingga 12 September ini sebagai membalas jemputan Pas kepada pimpinan UMNO.

UMNO dan Pas sebelum ini pernah menjalin kerjasama politik secara rasmi menerusi Muafakat Nasional yang dimeterai pada 2019, namun hubungan tersebut kemudiannya renggang selepas Pas memperkukuhkan kerjasama bersama Bersatu menerusi Perikatan Nasional. – KOSMO! ONLINE

The post Asyraf Wajdi wakili Ahmad Zahid ke Muktamar Pas appeared first on Kosmo Digital.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved