
PETALING JAYA: Atlet angkat berat kebangsaan, Muhammad Hafizuddin Roslin, ditidurkan bagi membolehkan pihak perubatan meneruskan rawatan intensif selepas mengalami kecederaan serius dalam kemalangan motosikal di Lebuhraya SUKE, malam tadi.
Dalam kejadian kira-kira pukul 11.28 malam itu, Hafizuddin dipercayai terbabas ketika dalam perjalanan dari Ampang menuju ke Bukit Jalil.
Menurut kenyataan rasmi Majlis Sukan Negeri Perlis, Hafizuddin mengalami patah tulang tangan kanan, komplikasi serius apabila salur darah pada bahagian itu tidak lagi berfungsi dan terdapat kecederaan ringan di kepala.
Susulan itu, pihak perubatan memberikan keutamaan kepada Hafizuddin untuk menjalani pembedahan hari ini bagi menangani kecederaan berkenaan.
Sementara itu, Presiden Persekutuan Angkat Berat Malaysia (PABM), Datuk Ayub Rahmat berharap segala urusan rawatan Hafizuddin dipermudahkan dan diberikan kesembuhan segera.
Beliau berkata, keutamaan ketika ini adalah memastikan Hafizuddin menerima sokongan moral sewajarnya sepanjang menghadapi dugaan itu.
“Saya secara peribadi dan bagi pihak seluruh keluarga besar PABM ingin merakamkan rasa dukacita dan simpati yang mendalam atas kejadian kemalangan yang menimpa atlet angkat berat kebangsaan, Hafizuddin Roslin,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Menurut Ayub, Hafizuddin banyak menyumbang kepada kecemerlangan sukan angkat berat negara di pentas antarabangsa, termasuk meraih pingat emas pada Sukan Komanwel Glasgow 2026 menerusi semangat juang, disiplin dan komitmen tinggi dalam sukan itu.
Sehubungan itu, beliau berharap seluruh rakyat Malaysia, khususnya warga sukan, dapat bersama-sama mendoakan kesembuhan Hafizuddin serta memberikan sokongan kepada keluarga atlet berkenaan.
Pada masa sama, seluruh warga sukan Negeri Perlis turut mengajak orang ramai mendoakan agar urusan pembedahan Hafizuddin dipermudahkan dan beliau diberikan kekuatan serta kesembuhan dalam menghadapi ujian itu. – UTUSAN
The post Atlet angkat berat, Hafizuddin ditidurkan akibat kemalangan appeared first on Utusan Malaysia.






