Atlet Muaythai Sabah menyerlah di Bahrain

30 Oct 2025 • 12:34 PM MYT
Daily Express
Daily Express

Daily Express Online (Malaysia) is Sabah's top-ranked & most viewed English news site. It is also Sabah's leading & most circulated daily English newspaper.

image is not available

Kota Kinabalu: Atlet Muaythai Sabah kembali menyerlah di pentas antarabangsa apabila mereka menyumbang satu pingat perak dan tiga daripada lima pingat gangsa yang dimenangi kontinjen negara pada Kejohanan Muaythai Remaja Asia 2025 sempena Sukan Belia Asia ke-3 di Bahrain.

Auryelle Xzandra Bobby meraih pingat perak dalam kategori Wai Kru (Perempuan 14-15 tahun) selepas memperoleh 8.80 mata, tewas tipis dengan perbezaan 0.20 mata kepada wakil Filipina, Lyre Anie Ngina.

Tiga pingat gangsa lain disumbangkan oleh Ariesya Dania dalam kategori Wai Kru (Perempuan 16-17 tahun), Jaethan Quan dalam kategori Wai Kru (Lelaki 14–15 tahun) dan pasangan campuran Mai Muay (14-17 tahun), Jaethan bersama Bethany Lai.

Dua lagi pingat gangsa datang daripada acara tempur melalui wakil Selangor, Mia Nur Amani (Perempuan 48kg, 14-15 tahun) dan wakil Perak, Mohd Haikal (Lelaki 45kg, 14-15 tahun).

Malaysia diwakili sembilan atlet keseluruhan, termasuk Nur Bisyarah, Nur Arisya Sofia dan Muhd Ramadhani Razqi.

Pengurus pasukan ialah En Saiful manakala Cyrille Dhillon Tahing bertindak sebagai ketua jurulatih dengan dibantu jurulatih budaya, Mardiana Mohd Maulana yang turut berasal dari Sabah.

Cyrille, yang menzahirkan rasa bangga terhadap keseluruhan pasukan, berkata kejayaan berkenaan bukan hanya diukur melalui pencapaian pingat semata-mata.

“Saya amat berbangga dengan seluruh pasukan Muaythai Malaysia di kejohanan ini. Semua atlet menunjukkan semangat juang, disiplin dan fokus yang luar biasa.

“Mereka melangkah ke gelanggang dengan keberanian dan kebanggaan, mengharumkan nama Malaysia. Bagi saya, kejayaan ini bukan sekadar tentang pingat, tetapi juga kematangan, tekad dan kemajuan yang mereka tunjukkan di peringkat antarabangsa.

“Ia juga mencerminkan usaha berterusan para jurulatih dan kekuatan program pembangunan akar umbi di seluruh negara. Saya berharap kejayaan ini akan terus mengangkat mutu Muaythai Malaysia ke tahap lebih tinggi,” katanya.

Sementara itu, kontinjen negara disambut oleh pegawai tertinggi Majlis Sukan Negara sebaik tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada Selasa.