ATM Lakar Sejarah, Johnny Lim Jadi Leftenan Jeneral Berbangsa Cina Pertama

LocalPolitics
24 Jun 2025 • 12:57 PM MYT
BuzzKini
BuzzKini

Laman Berita Social Malaysia

image is not available

Ikuti saluran WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu.

Angkatan Tentera Malaysia (ATM) sekali lagi melakar sejarah apabila menyaksikan kenaikan pangkat Leftenan Jeneral Datuk Johnny Lim Eng Seng, anak kelahiran Melaka berbangsa Cina pada Isnin, 23 Jun 2025.

Beliau merupakan Pegawai Kanan berbangsa Cina yang pertama telah dinaikkan pangkat ke Leftenan Jeneral.

Kenaikan pangkat ini telah disempurnakan oleh Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Hj Mohd Nizam bin Hj Jaffar.

Kenaikan pangkat Johnny Lim berkuat kuasa 26 Mei 2025 dan beliau akan kekal sebagai Komandan Maktab Ketahanan Nasional (MKN) atau turut dipanggil National Resilience College (NRC), jawatan yang sudah dipegangnya ketika bergelar Mejar Jeneral.

image is not available

Majlis pemakaian pangkat ini turut disaksikan oleh Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Datuk Seri Muhammad Hafizuddeain Jantan; Panglima Tentera Laut, Laksamana Tan Sri (Dr.) Zulhelmy Ithnain; Panglima Operasi Udara mewakili Panglima Tentera Udara, Leftenan Jeneral Datuk Masro Kaliwon TUDM; Ketua Staf Markas ATM, Leftenan Jeneral Datuk Azhan Hj Md Othman; serta pegawai kanan ATM.

image is not available

Latar belakang Johnny Lim

Johnny Lim telah mendapat pendidikan awal di Sekolah Rendah St Francis, Melaka pada tahun 1973 hingga 1978 dan kemudiannya di Sekolah Menengah St Francis, Melaka pada tahun 1979 hingga 1983.

Beliau kemudian mengikuti latihan Pegawai Kadet sebagai Tauliah Jangka Tetap Ke-25 (TJT 25) dan seterusnya telah menjalani latihan di Akademi Tentera Diraja (Sandhurst Royal Military Academy Sandhurst) United Kingdom pada 1986 sebelum ditauliahkan ke Rejimen Renjer Diraja (RRD).

Beliau merupakan graduan Australian Army Command and Staff College dan turut memiliki Ijazah Sarjana daripada University of Canberra serta Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Johnny Lim turut dikenali dengan kemahiran penguasaan bahasa Korea berdasarkan pengalaman mengikuti pengajian ketenteraan di Korea Selatan serta Sepanyol, kata ATM.

Pegang jawatan penting dalam ATM

Sepanjang perkhidmatannya, beliau telah menyandang pelbagai perjawatan penting antaranya:

  • Ketua Jurulatih di Pusat Latihan Tempur Tentera Darat (PULADA)
  • Panglima 31 Briged Infantri
  • Inspektor Jeneral Tentera Darat
  • Ketua Staf Markas Pemerintahan Medan Barat

image is not available

ATM dalam satu kenyataan berkata, kenaikan pangkat ini juga menunjukkan peluang yang wujud dalam ATM adalah terbuka dan berdasarkan kecemerlangan semasa di dalam Perkhidmatan.

Tambah ATM, kisah beliau ini juga diharapkan dapat menarik minat bangsa-bangsa lain untuk turut menceburkan diri dalam kerjaya keramat ini.

“ATM seharusnya dilihat sebagai contoh terbaik konsep ’ Unity in Diversity’ dan menjadi platform utuh di dalam erti kata perpaduan yang sebenarnya.”

Pengarah Pendidikan ATM juga naik pangkat ke Brigedier Jeneral

Selain Jhonny Lim, turut dinaikkan pangkat adalah Kolonel Mohd Sharif bin Ishak yang dinaikkan ke pangkat Brigedier Jeneral.

Menurut ATM, kenaikan beliau berkuatkuasa mulai 7 Jun 2025 dan akan kekal sebagai Pengarah Pendidikan ATM.

image is not available