SHAH ALAM - Attitude Asia Group bekerjasama dengan Tourism Malaysia dan platform gaya hidup digital Rednote (Xiaohongshu) bagi memperkasa komuniti pencipta kandungan tempatan dalam usaha mempromosikan pelancongan Malaysia bersempena dengan Kempen Visit Malaysia 2026–2027 (VM2026–2027) melalui acara Malaysia Creator Meetup.
Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif Attitude Asia Group, Kien Lim berkata, kerjasama rentas industri antara platform, agensi awam dan pencipta kandungan penting bagi memastikan ekosistem pencipta kandungan di Malaysia kekal optimum.
"Acara ini turut menyaksikan pengiktirafan rasmi Attitude Ideology, yang merupakan sebahagian daripada Attitude Asia Group, sebagai Rangkaian Multi-Saluran (MCN).
"Ia sekali gus memperluas peranannya dalam pengurusan pencipta kandungan, pembangunan kandungan dan rakan kongsi strategik Rednote yang memberi akses serta peluang komersial lebih luas kepada pencipta tempatan," katanya dalam satu kenyataan.
Sebelum itu, Timbalan Ketua Pengarah (Promosi II) Tourism Malaysia, Samuel Lee Thai Hung, menyampaikan taklimat mengenai strategi promosi utama Kempen Visit Malaysia 2026–2027 pada sesi pagi.
Taklimat sesi petang pula disampaikan oleh Timbalan Ketua Pengarah (Promosi) merangkap Ketua Sekretariat Visit Malaysia 2026–2027, Mohd Akbal Setia.
Turut hadir Pengarah Bahagian Komunikasi Korporat Tourism Malaysia, Yasmin Faezah Samsudin dan Pengarah Bahagian Pengiklanan dan Digital, Mohd Izal Mahd Nor.
Sementara itu, wakil Global Creator Growth Team Rednote, Mia Liang, berkongsi mengenai hala tuju pembangunan platform serta trend kandungan semasa.
Beliau turut memperkenalkan alat pembinaan komuniti yang boleh dimanfaatkan oleh pencipta kandungan bagi mengembangkan pengaruh mereka.
Kerjasama itu bertujuan meningkatkan penglibatan dan jalinan rangkaian dalam kalangan pencipta kandungan Malaysia, selain memberi peluang kepada mereka untuk berhubung secara langsung dengan platform serta menyokong pertumbuhan bakat kandungan pelancongan di Malaysia.






