hamden09/09/2026 - 18:23 Oleh HAMDEN RAMLI editor@dagangnews.com KUALA LUMPUR 9 Sept - Enra Group Bhd bekerjasama dengan penyedia perkhidmatan minyak dan gas dari China bagi menyertai tender akan datang untuk penyediaan kapal penyimpanan dan pemindahan terapung (FPSO) di Asia Tenggara.
Dalam pemfailan kepada Bursa Malaysia, Enra berkata anak syarikat tidak langsung milik penuhnya, Hexagon Energy Logistics Sdn Bhd, pada 7 September 2026 memeterai perjanjian kerjasama pra-penyertaan tender dengan China Offshore Engineering & Technology Co Ltd.
Di bawah perjanjian tidak mengikat itu, kedua-dua pihak akan berunding mengenai skop kerja, harga dan tanggungjawab masing-masing selepas menerima dokumen tender rasmi.
Pengaturan tersebut kemudiannya akan dimuktamadkan menerusi perjanjian muktamad yang berasingan.
China Offshore Engineering & Technology menyediakan penyelesaian bersepadu untuk sektor minyak dan gas, penyahkarbonan, tenaga boleh diperbaharui, perlombongan laut dalam serta sumber lautan lain.
Bagi Enra, kerjasama itu memperluas penglibatan kumpulan dalam sektor tenaga, khususnya menerusi peluang projek FPSO di rantau Asia Tenggara.
Enra, yang sebelum ini dikenali sebagai Perduren (M) Bhd, terlibat dalam perniagaan logistik dan penyewaan berkaitan sektor tenaga, selain menyediakan perkhidmatan kejuruteraan, operasi dan penyelenggaraan.
Kumpulan itu turut mempunyai kepentingan dalam pembangunan serta penyelenggaraan hartanah dan perkhidmatan baik pulih, penyelenggaraan dan baik pulih menyeluruh (MRO).
Dari segi prestasi kewangan, Enra mencatat peningkatan ketara bagi suku pertama berakhir 30 Jun 2026 (1QFY2027), dengan keuntungan bersih melonjak kepada RM5.4 juta berbanding RM18,000 pada tempoh sama tahun sebelumnya.
Hasil kumpulan pula lebih dua kali ganda kepada RM36.55 juta daripada RM14.42 juta sebelumnya. - DagangNews.com




