
MELAKA: Kerajaan akan memansuhkan Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971 (AUKU) dalam langkah reformasi pendidikan tinggi bagi memberi ruang lebih luas kepada mahasiswa, termasuk dari aspek kebebasan bersuara, pemikiran dan penglibatan dalam masyarakat.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, keputusan itu dibuat selepas masih terdapat pihak yang tidak berpuas hati meskipun beberapa pindaan terhadap akta berkenaan telah dilaksanakan sebelum ini.
“Akta Universiti dan Kolej, ada yang tidak puas hati. Mereka minta mansuhkan.
“Pada hari ini (semalam) saya sudah umumkan, kita akan mansuhkan Akta Universiti dan Kolej Universiti,” katanya ketika menyampaikan ucapan dasar Presiden pada Kongres Nasional Tahunan Parti Keadilan Rakyat (PKR) di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), Ayer Keroh, di sini semalam.
Menurut Anwar, kerajaan sebelum ini sudah melaksanakan beberapa pembaharuan bagi memberi lebih kebebasan dan ruang kepada mahasiswa, namun langkah lebih menyeluruh perlu diteruskan sebagai sebahagian daripada agenda reformasi.
Beliau berkata, cadangan pemansuhan AUKU akan dibawa ke mesyuarat Kabinet pada Rabu ini untuk penelitian dan tindakan lanjut.
Katanya, keputusan itu perlu dibincangkan di peringkat Kabinet susulan pengumuman hasrat kerajaan memansuhkan akta tersebut dalam ucapan dasar Presiden pada Kongres Nasional Tahunan PKR.
Anwar berkata, reformasi pendidikan tinggi perlu dilaksanakan dengan lebih tegas bagi memastikan mahasiswa diberikan ruang dan peluang lebih luas untuk berkembang.
Sementara itu, Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir berkata, pemansuhan AUKU perlu disusuli kerangka perundangan baharu yang menyeluruh dan progresif bagi memenuhi keperluan pendidikan tinggi negara pada masa kini serta akan datang.
Katanya, AUKU bukan sekadar akta yang mengawal hal ehwal dan kebebasan mahasiswa, sebaliknya menjadi akta induk yang menjadi asas kepada penubuhan, pentadbiran serta tadbir urus universiti dan kolej universiti.
Menurut beliau, Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) telah mengambil kira keperluan memperbaharui kerangka perundangan pendidikan tinggi dengan merangka akta baharu bagi menggantikan AUKU.
Usaha itu turut digariskan dalam Rancangan Pendidikan Tinggi Malaysia (RPTM) 2026-2035 menerusi agenda pembentukan One Higher Education Act.
“Matlamat kita bukan sekadar memansuhkan sebuah akta, tetapi membina kerangka perundangan pendidikan tinggi yang lebih komprehensif dan berdaya hadapan,” katanya dalam kenyataan semalam.
Dalam pada itu, Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, Adam Adli Abdul Halim berkata, pengumuman tersebut signifikan dalam konteks perjuangan memansuhkan AUKU yang berlangsung lebih 40 tahun.
Katanya, ia membuktikan komitmen kerajaan terhadap agenda reformasi pendidikan tinggi yang mahu memberi lebih kepercayaan kepada mahasiswa.
“Saya melihat pengumuman ini sebagai sesuatu yang cukup signifikan dan besar, khususnya dalam perjuangan memansuhkan AUKU dan agenda reformasi yang kita perjuangkan selama ini,” katanya.
Sementara itu, Kesatuan Mahasiswa Universiti Malaya (UM) mahu kerajaan memperjelaskan kerangka atau perundangan yang akan menggantikan AUKU bagi mengelakkan kemungkinan wujud kelompongan dalam urus tadbir institusi pengajian tinggi selepas akta itu dimansuhkan.
Presidennya, Ahmad Izzat Shamsuddin berkata, mekanisme selepas pemansuhan perlu diperincikan memandangkan perubahan itu bukan sahaja melibatkan kebebasan mahasiswa, malah turut berkait dengan sistem pentadbiran universiti.
“Sebarang kerangka baharu perlu memastikan sekatan terhadap mahasiswa yang menjadi antara asas tuntutan pemansuhan AUKU tidak dikembalikan dalam bentuk berbeza.
“Antara perkara yang perlu diperjelaskan ialah sejauh mana kerangka baharu benar-benar memberi ruang kepada mahasiswa untuk menubuhkan persatuan, menyuarakan pendirian dan bergerak tanpa sekatan yang tidak wajar,” katanya. – UTUSAN
The post AUKU dimansuhkan appeared first on Utusan Malaysia.






