
PENGUMUMAN mengenai pemansuhan Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) 1971 membuka lembaran baharu dalam pendidikan tinggi negara.
Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) menggariskan pembentukan kerangka perundangan baharu yang lebih komprehensif melalui Akta Pendidikan Tinggi Tunggal (OHEA) di bawah Rancangan Pendidikan Tinggi Malaysia 2026–2035.
Sejak pengumuman tersebut, perbahasan berkaitan AUKU berkisar tentang kebebasan mahasiswa, autonomi universiti dan pembentukan perundangan yang bakal menggantikan AUKU.
Tidak dapat dinafikan semua isu itu penting. Namun, di sebalik perbahasan tersebut, terdapat persoalan yang lebih mendasar, iaitu sejauh manakah mahasiswa bersedia mengurus ruang kebebasan yang lebih luas, ketika kawalan institusi semakin longgar?
Dalam bulan kemerdekaan dan seterusnya kita bakal menyambut Hari Malaysia ke-69, makna kemerdekaan terutama bagi golongan muda yang semakin jauh daripada generasi yang melalui era kemerdekaan sewajarnya dimaknakan semula.
Jika merdeka pada generasi awal pascamerdeka bermaksud membebaskan diri daripada minda penjajahan maka generasi muda hari ini mungkin melihat kemerdekaan dalam konteks yang jauh berbeza.
Mereka bukan sahaja telah bebas tetapi membentuk jati diri dan kemahuan yang tersendiri.
Justeru, nilai kemerdekaan yang matang menuntut keupayaan golongan muda membuat pilihan, menilai akibat dan bertanggungjawab terhadap keputusan yang dibuat. Atas sebab itu, perubahan landskap AUKU tidak seharusnya hanya dilihat sebagai kisah tentang menghapuskan sekatan.
Ia juga sewajarnya menjadi titik permulaan kepada usaha membina golongan muda terutama warga kampus yang tidak bergantung sepenuhnya kepada peraturan dalam menentukan batas tindakan.
Selepas AUKU, apa seterusnya?
AUKU bukan semata-mata berkaitan kebebasan atau hal ehwal mahasiswa. Ia turut menjadi sebahagian daripada kerangka yang mengatur penubuhan dan tadbir urus universiti.
KPT juga menegaskan perkara ini ketika menjelaskan keperluan membentuk perundangan baharu yang lebih menyeluruh.
Bagi mahasiswa pula, perubahan terhadap AUKU selama ini berlaku secara berperingkat dan sebahagian ruang penglibatan mereka telah pun diperluaskan.
Maka, menuju era baharu pasca-AUKU, persoalan yang lebih penting mungkin bukan lagi berkisar tentang ruang dan peluang kebebasan yang perlu diberikan tetapi tentang bagaimana mahasiswa menguruskan kebebasan.
Masyarakat yang merdeka tidak seharusnya berfungsi atas asbab perundangan dan peraturan semata-mata. Ini kerana banyak keputusan harian sebenarnya lebih dipandu oleh nilai, norma, integriti dan rasa tanggungjawab. Peraturan boleh menetapkan apa yang tidak boleh dilakukan, tetapi tidak semua tindakan yang wajar boleh dipaksa melalui peraturan.
Dalam kehidupan di kampus, mahasiswa yang diberikan ruang lebih besar dalam mengurus persatuan perlu memahami akauntabiliti dalam mentadbir dan mengurus kewangan.
Kebebasan menganjurkan program perlu disertai tanggungjawab terhadap keselamatan dan hak warga kampus yang lain. Kebebasan menggunakan media sosial pula menuntut disiplin dalam menyemak fakta sebelum berkongsi. Semua nilai ini akan membentuk jati diri mahasiswa merdeka yang sebenar.
Kerangka perundangan yang jelas tetap diperlukan, tetapi undang-undang tidak mampu menentukan setiap pilihan. Apabila kawalan luaran berkurang, mahasiswa memerlukan kematangan dan kawalan kendiri dalam menentukan tindakan.
Oleh itu, pendidikan tinggi bukan sekadar menetapkan sempadan, tetapi perlu membentuk mahasiswa yang memahami mengapa sesuatu tindakan wajar dilakukan atau dielakkan, walaupun tanpa pengawasan.
Mengurus Kebebasan
Di sinilah patriotisme boleh memberi makna kepada mahasiswa. Patriotisme hadir melalui keputusan yang menunjukkan kesediaan seseorang mempertimbangkan kepentingan komuniti dan negara, iaitu dengan menilai kesan sesuatu tindakan secara menyeluruh.
Mahasiswa yang mengurus wang persatuan dengan amanah sedang belajar tentang tanggungjawab kepada komuniti. Pemimpin mahasiswa yang bersedia dipersoalkan mengenai keputusan yang dibuat sedang belajar tentang akauntabiliti.
Warga kampus yang memilih untuk tidak menyebarkan maklumat yang belum disahkan sedang memahami bahawa kebebasan bersuara juga mempunyai kesan terhadap orang lain.
Begitu juga apabila seseorang mampu menerima kritikan, kekalahan atau keputusan yang tidak memihak kepadanya tanpa merosakkan proses yang telah dipersetujui bersama. Perkara-perkara ini mungkin kelihatan kecil, tetapi sebenarnya di situlah latihan menjadi warga negara berlangsung.
Patriotisme dalam pengertian ini bukan sekatan baharu terhadap kebebasan. Sebaliknya, ia membina kesedaran bahawa kebebasan seseorang wujud bersama kebebasan orang lain.
Apabila mahasiswa mampu menilai kesan sesuatu tindakan terhadap komuniti, maka pendidikan di kampus telah berjaya memberi makna yang besar dalam membentuk jati diri seorang warganegara.
Proses pendidikan ini mengajar tentang pertimbangan nilai, empati dan kematangan agar mahasiswa memahami bahawa sesuatu tindakan mungkin dibenarkan, tetapi belum tentu bijaksana.
Semangat merdeka dan patriotisme akhirnya bertemu pada titik yang sama, iaitu kemampuan mengurus pilihan. Seseorang yang benar-benar merdeka tidak semestinya melakukan segala-galanya hanya kerana mempunyai kebebasan untuk berbuat demikian. Individu yang matang juga bijak menguruskan kebebasan, mempunyai nilai jati diri, empati dan akan mengutamakan kepentingan bersama.
Perubahan AUKU juga membuka ruang untuk institusi pendidikan tinggi menilai semula bagaimana kurikulum, aktiviti kemahasiswaan dan budaya kampus dapat terus menyokong mahasiswa dalam mengurus kebebasan secara matang.
Selain kerangka peraturan yang jelas, perhatian juga boleh diberikan kepada pembinaan keupayaan mahasiswa membuat pertimbangan sendiri, memahami implikasi tindakan dan bertanggungjawab terhadap pilihan yang dibuat.
Dengan itu, kampus akan menjadi madrasah untuk melatih seseorang menjadi warga negara yang memberi manfaat kepada seluruh masyarakat.
Ujian sebenar selepas AUKU kelak bukanlah berapa banyak ruang baharu yang dibuka atau seberapa lantang mahasiswa bersuara.
Ukurannya ialah sama ada ruang tersebut berjaya melahirkan warga kampus yang mampu mengurus kebebasan tanpa memerlukan terlalu banyak sekatan untuk memastikan mereka bertanggungjawab.
Jika merdeka memberikan kita kebebasan, patriotisme seharusnya membentuk warganegara yang berani bertanggungjawab terhadap kebebasan yang diberi. – UTUSAN
DR. Zalina Zainal ialah Pensyarah Kanan, Pusat Pengajian Ekonomi, Kewangan dan Perbankan, Universiti Utara Malaysia (UUM).
The post AUKU: Mahasiswa perlu guna kebebasan bersuara dengan matang appeared first on Utusan Malaysia.






