Kuartet muda UPM gegar rekod SUKIPT

31 Aug 2026 • 8:54 PM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: Kuartet muda UPM gegar rekod SUKIPT

KUALA LUMPUR – Pertaruhan Universiti Putra Malaysia (UPM) terhadap barisan pelapis membuahkan hasil apabila kuartet 4×100 meter (m) lelaki bukan sahaja meraih pingat emas Sukan Institusi Pendidikan Tinggi (SUKIPT) 2026, malah meleburkan rekod temasya dengan catatan bawah 40 saat.

UPM mencatat 39.98 saat untuk memperbaharui rekod kejohanan 40.98s dengan kejayaan itu lebih manis apabila sebahagian besar kuartet berkenaan merupakan muka baharu di pentas SUKIPT.

Mereka turut berjaya mengatasi tekanan daripada pencabar terdekat, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) yang diperkuat pelari pecut negara, Danish Iftikhar Muhammad Roslee untuk memastikan emas kekal menjadi milik UPM.

Pelari UPM, Aliff Iman Mohd Fahimi mengakui mereka sememangnya mengintai catatan bawah 40s berdasarkan kemampuan setiap anggota kuartet, selain mahu meneruskan legasi acara pecut universiti itu yang pernah dibarisi nama seperti Jonathan Nyepa dan Zulfiqar Ismail.

“Ini merupakan SUKIPT terakhir saya dan saya mahu berikan yang terbaik buat UPM. Walaupun pasukan kali ini dibarisi pelari junior, kami yakin dengan kemampuan masing-masing.

“Berdasarkan purata catatan rakan sepasukan sekitar 10.4 hingga 10.5 saat, kami memang percaya mampu mencatat masa di bawah 40 saat,” katanya.

Kejayaan itu turut cukup bermakna buat Aliff Iman yang menjadikan SUKIPT sebagai medan membina semula prestasi selepas terpaksa berehat selama enam bulan akibat kecederaan belakang dengan sasaran seterusnya adalah mencabar tempat ke Sukan SEA tahun depan.

Semangat sama dipamerkan Reeve Kua Man Hong yang tetap turun membantu kuartet UPM biarpun mengalami demam panas sehari sebelum perlumbaan.

“Semalam saya mengalami demam panas dan hanya mampu berehat serta mengambil ubat. Alhamdulillah, hari ini saya dapat berlari dan memberikan yang terbaik untuk pasukan,” katanya.

Catatan 39.98s itu sekali gus meneruskan reputasi UPM dalam melahirkan pelari pecut berkualiti, selain memberi petanda positif terhadap kemampuan generasi baharu mereka untuk meneruskan legasi di pentas lebih tinggi. KOSMO! ONLINE

The post Kuartet muda UPM gegar rekod SUKIPT appeared first on Kosmo Digital.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved