UPSI kuasai 100m SUKIPT

1 Sep 2026 • 5:39 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: UPSI kuasai 100m SUKIPT

KUALA LUMPUR: Skuad olahraga Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) mengukuhkan penguasaan dalam acara 100 meter (m) Sukan Institusi Pendidikan Tinggi (SUKIPT) 2026 apabila menyapu bersih dua pingat emas menerusi Danish Iftikhar Muhammad Roslee dan Fatin Ilyana Mat Nayan di Arena Universiti Malaya (UM), hari ini.

Danish, 19, mencipta sensasi apabila memecahkan rekod temasya sebanyak dua kali dalam perjalanannya meraih emas selepas menamatkan saingan dengan catatan 10.36 saat (s), sekali gus memperbaharui rekod 10.44s yang dilakukannya pada saringan ketujuh, semalam.

Perak dimenangi wakil Politeknik Malaysia, Muhammad Airiel Iskandar Rusli dengan catatan 10.63s, manakala Mohammad Thaqif Mohammad Hisham dari Universiti Putra Malaysia (UPM) meraih gangsa (10.65s).

“Alhamdulillah, saya sangat bersyukur kerana dapat menamatkan saingan 100 meter dengan baik dan memecahkan rekod untuk kali kedua.

“Tiada rahsia khusus, saya cuma percaya kepada rezeki Allah serta menjaga pemakanan, tidur dan pemulihan. Itu yang penting untuk memastikan badan berada dalam keadaan baik,” kata Danish yang bakal beraksi dalam acara 200m esok.

Mengulas mengenai persiapan menghadapi Grand Prix Muscat iaitu kejohanan bertaraf Gangsa Siri Jelajah Benua Olahraga Dunia, hujung minggu ini, Danish berkata, saingan itu penting sebagai medan untuk memantapkan gandingan kuartet 4x100m negara menjelang Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026.

“Kami menyasarkan kesempurnaan dalam acara 4x100m, khususnya untuk pasukan berganti-ganti sebagai persiapan menghadapi Sukan Asia nanti,” katanya.

Sementara itu, bagi kategori wanita pula menyaksikan UPSI menyapu bersih kesemua pingat apabila Fatin memenangi emas dengan catatan masa 11.93s manakala perak diraih Nurul Wardatul Huwaida Mohd Hamka (12.13s) dan Nur Izzati Eliana Suhaidi di tempat ketiga (12.23s).

Image from: UPSI kuasai 100m SUKIPT
Fatin Ilyana Mat Nayan

“Alhamdulillah, saya sangat berbangga sebab memang sasaran saya adalah untuk buat catatan peribadi terbaik. Saya sudah lama tak lakukannya iaitu sejak 2022 dengan catatan 11.96s,” katanya. – UTUSAN

The post UPSI kuasai 100m SUKIPT appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved