Aumas Resources perbaharui lesen melombong emas Bukit Mantri di Sabah

14/10/2025 - 14:22
Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN
KUALA LUMPUR 14 Okt – Aumas Resources Bhd melalui anak syarikat miliknya, Wullersdorf Resources Sdn Bhd, sudah memperbaharui lesen skim perlombongan operasi sah (OMS) bagi lombong emas Bukit Mantri di Sabah.
Ia adalah satu-satunya lombong emas berskala besar yang aktif di negeri itu dan kelulusan lesen tersebut diperolehi daripada Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, Aumas berkata, pembaharuan lesen itu membuktikan projek tersebut telah memenuhi semua keperluan peraturan, termasuk penilaian impak alam sekitar.
Bagaimanapun, tarikh mula dan tamat bagi lesen yang diperbaharui tidak didedahkan syarikat tersebut.
Lesen OMS terakhir syarikat sebelum ini diperbaharui sehingga 9 Oktober 2025 dan kebiasannya boleh diperbaharui setiap enam bulan selepas penelitian pihak berkuasa.
Lombong Bukit Mantri terletak di tapak seluas 317.7 hektar di Balung, Tawau dan merupakan aset pengeluaran teras kumpulan, menurut laporan tahunan 2024 syarikat.
Sewa tanah bagi lombong tersebut dijamin sehingga 31 Disember 2048.
Dalam pengumuman suku tahunan terakhir, Aumas melaporkan kerugian bersih RM19.91 juta bagi tiga bulan yang berakhir 30 Jun 2025, berbanding keuntungan bersih RM834,000 pada tempoh yang sama tahun sebelumnya, akibat sabotaj berulang terhadap infrastruktur lombong oleh bekas pengurusan.
Awal tahun ini, sebuah akhbar tempatan melaporkan kononnya Wullersdorf Resources beroperasi tanpa lesen atau kelulusan alam sekitar dan akaun banknya dibekukan.
Bagaimanapun, Aumas menafikan laporan itu dan menyifatkannya sebagai palsu dan hanyalah fitnah.
Syarikat menegaskan ia mempunyai lesen OMS yang sah dan kelulusan alam sekitar bagi projek itu telah diberikan pada 16 Mac 2017 oleh Jabatan Perlindungan Alam Sekitar Sabah.- DagangNews.com
standard

