liza13/01/2026 - 12:18 Azizah Ali Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN liza@dagangnews.com KUALA LUMPUR 13 Jan – AwanBiru Technology Bhd mengumumkan pelantikan Azizah Ali sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan berkuat kuasa 12 Januari 2026.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, AwanBiru berkata Azizah yang berusia 57 tahun mempunyai pengalaman lebih 25 tahun dalam pelbagai jawatan kepimpinan merangkumi jualan, pemasaran dan operasi.
“Beliau terkenal dengan pencapaian dalam memacu pertumbuhan perniagaan, transformasi organisasi dan impak di peringkat nasional dalam sektor teknologi.
“Sepanjang kerjayanya, beliau telah berkhidmat di Malaysia dan rantau Asia Pasifik dengan kepakaran dalam membimbing organisasi melalui transformasi berasaskan Cloud dan Kecerdasan Buatan (AI).
“Beliau kini memegang jawatan sebagai Pengarah Bebas Bukan Eksekutif di Syarikat Takaful Malaysia Keluarga Berhad, di mana beliau dilantik untuk memperkukuh kompetensi teknologi dan digital,” kata AwanBiru dalam makluman tersebut.
Sebelum ini, Azizah adalah Ketua Pegawai Operasi Microsoft Malaysia, bertanggungjawab dalam perancangan perniagaan, pelaksanaan operasi, strategi pelaburan dan transformasi kemampuan organisasi.
Beliau juga pernah memegang jawatan sebagai Ketua Pemasaran dan Operasi Microsoft Malaysia, Pengarah Saluran Enterprise Microsoft Asia Pasifik, Pengurus Besar SME Solutions & Partner Group Microsoft Malaysia, serta Pengurus Negara Microsoft Brunei.
Awanbiru berkata pelantikan Azizah akan memperkukuh kepimpinan syarikat dalam menghadapi cabaran digital dan peluang teknologi terkini. - DagangNews.com


