AWC raih konsesi RM520 juta selenggara bangunan kerajaan di Zon Selatan selama 10 tahun

LocalBusiness & Finance
26 Nov 2026 • 5:40 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

AWC raih konsesi RM520 juta selenggara bangunan kerajaan di Zon Selatan selama 10 tahun Image from: AWC raih konsesi RM520 juta selenggara bangunan kerajaan di Zon Selatan selama 10 tahun liza26/11/2026 - 17:40 Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN liza@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 26 Nov – AWC Berhad memperoleh kontrak konsesi bernilai kira-kira RM519.85 juta daripada Kerajaan Malaysia bagi mengurus dan menyelenggara bangunan serta kemudahan kerajaan Persekutuan di Zon Selatan untuk tempoh 10 tahun bermula 1 Januari 2027 hingga 31 Disember 2036.

 

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, ia berkata kontrak itu akan dilaksanakan menerusi anak syarikat tidak langsung milik penuhnya, Ambang Wira Selatan Sdn Bhd (AWSSB) yang memeterai perjanjian perkongsian awam-swasta (PPP) dengan kerajaan pada 26 November 2026.

 

Menerusi perjanjian itu, AWSSB dijangka menerima bayaran kira-kira RM51.98 juta setahun tidak termasuk cukai jualan dan perkhidmatan (SST) sepanjang tempoh konsesi berkenaan.

 

Skop konsesi meliputi pengurusan, operasi, penyelenggaraan, pembaikan, penggantian serta perkhidmatan sokongan berkaitan bagi bangunan dan kemudahan kerajaan Persekutuan yang ditetapkan di Zon Selatan.

 

AWSSB perlu melaksanakan semua perkhidmatan berkenaan mengikut piawaian prestasi, tahap perkhidmatan dan spesifikasi yang ditetapkan kerajaan.

 

Syarikat itu juga bertanggungjawab mematuhi semua undang-undang, peraturan serta keperluan pihak berkuasa berkaitan sepanjang tempoh konsesi. AWSSB ditubuhkan pada 3 April 2026 sebagai syarikat tujuan khas bagi melaksanakan konsesi berkenaan.

 

Struktur pemilikan syarikat itu terdiri daripada Ambang Wira Sdn Bhd dengan pegangan ekuiti 70% dan Trackwork & Supplies Sdn Bhd sebanyak 30% yang kedua-duanya merupakan anak syarikat milik penuh AWC.

 

Beri sumbangan positif kepada keuntungan kumpulan

Menurut AWC, konsesi itu selari dengan aktiviti perniagaan teras kumpulan dalam penyediaan perkhidmatan pengurusan fasiliti dan penyelenggaraan.

 

Ia juga membolehkan kumpulan meneruskan penyediaan perkhidmatan berkenaan kepada kerajaan di Zon Selatan, berdasarkan pengalaman Ambang Wira Sdn Bhd dalam perkhidmatan penyelenggaraan berasaskan konsesi sejak 1998.

 

AWC menjangkakan konsesi itu dapat meningkatkan asas pendapatan berulang kumpulan serta memberikan keterlihatan pendapatan yang lebih baik sepanjang tempoh 10 tahun berkenaan.

 

Selain itu, konsesi tersebut dijangka menyumbang secara positif kepada keuntungan kumpulan bagi tahun kewangan berakhir 30 Jun 2027 serta sepanjang tempoh konsesi.

 

Bagaimanapun, AWC memaklumkan perjanjian itu tidak dijangka memberi kesan material terhadap aset bersih dan nisbah gearing kumpulan bagi tahun kewangan berakhir 30 Jun 2027, kecuali sebarang komitmen modal yang diperlukan di bawah perjanjian berkenaan.

 

Perjanjian itu juga tidak memberi kesan terhadap modal saham terbitan serta pegangan saham pemegang saham utama AWC.

AWC memaklumkan pelaksanaan konsesi berkenaan tidak memerlukan kelulusan pemegang saham syarikat. - DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved